Konsol permainan mudah-alih ialah siri peranti yang kini semakin popular di kalangan gamer, khususnya mereka yang mahukan kebolehan memainkan permainan-permainan PC kegemaran mereka tidak kira dimana mereka berada.

Syarikat-syarikat seperti ASUS, MSI, Lenovo dan sebagainya sudahpun memperlihatkan penawaran konsol PC mudah-alih mereka tersendiri, dan baru-baru ini, Phil Spencer, CEO Microsoft Gaming telah mengesahkan bahawa Microsoft juga nampaknya sedang membangunkan konsol mudah-alih dibawah jenama Xbox.
Dalam sebuah wawancara bersama Bloomberg, beliau mengatakan Microsoft mahu membina sebuah konsol yang bukanlah hanya sebuah peranti padat yang merumahkan sistem operasi Windows 11, tetapi sebuah konsol yang menjiwai Xbox sebagai sebuah jenama gaming yang digunakan berjuta-juta pengguna.

Beliau mengatakan bahawa konsol mudah-alih tersebut kini sedang berada dalam fasa prototaip, tetapi buat masa ini ia mungkin hanyalah prototaip dari segi binaan rangka konsol tersebut, kerana beliau juga mengatakan bahawa konsol mudah-alih ini dijangka hanya akan sedia diperkenalkan dalam masa beberapa tahun lagi.
Perkara ini cukup menarik kerana jenama-jenama seperti ASUS, MSI dan Lenovo semuanya sedia memperkenalkan generasi kedua konsol PC mudah-alih mereka tidak lama lagi, dan Microsoft mungkin perlu mengejar mereka untuk memastikan penawaran mereka tidak luput ditelan zaman sebelum memasuki pasaran.

