KUALA LUMPUR - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim digesa segera mengambil langkah menyelesaikan krisis adat yang melanda negeri itu susulan isu berkenaan yang berlarutan sejak April lalu.
Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, Ismail perlu memberikan penjelasan sebaik-baiknya berhubung dokumen proklamasi yang menjadi polemik, selain tidak mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikannya.
“Apabila ada sesuatu perkara yang berlaku, kita harus selesaikan dengan segera. Menteri Besar kena melakukannya dengan segera. You cannot take your sweet time.
“Kalau masalah itu tidak diatasi dengan baik dan segera, saya bimbang macam-macam perkara lain boleh berlaku,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Bibi Sharliza berkata, beliau tidak percaya wujud campur tangan UMNO, khususnya pimpinan tertinggi parti dalam kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan.
"Saya tidak rasa ada campur tangan UMNO terutamanya pimpinan atasan UMNO. Bagi kami, kita dapat menawan kembali Negeri Sembilan, itu fokus kita.
"Fokus kita untuk menang pilihan raya, fokus kita bukan menjadi Menteri Besar tetapi apabila ada sesuatu perkara yang berlaku, kita harus selesaikan segera," katanya.
Menurutnya, Negeri Sembilan mempunyai adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri tersendiri, justeru kemelut berkenaan perlu difahami dan diselesaikan melalui saluran yang sewajarnya.
Katanya, sebarang kelewatan menyelesaikan isu berkenaan dikhuatiri membuka ruang kepada masalah lain yang boleh menjejaskan kestabilan negeri.
“Adat Negeri Sembilan mempunyai penghulu, ibu soko dan rangkaiannya sendiri. Semua saluran itu perlu dilalui, manakala kerajaan bertanggungjawab dari sudut pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata, kemelut berkenaan sepatutnya diselesaikan bersama pihak berkaitan dalam institusi adat Negeri Sembilan dan tidak wajar dibiarkan berlarutan.
Dalam pada itu, Bibi Sharliza berkata, Ismail mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negeri dan diyakini mengetahui kaedah terbaik untuk menangani perkara berkenaan.
"Apa yang penting ketika ini adalah isu adat tersebut dapat diselesaikan dengan segera. Itu yang kita hendak sebenarnya. Yang saya faham rakyat Negeri Sembilan hendak itulah," katanya.
Bibi Sharliza pada masa sama mengingatkan UMNO supaya berhati-hati agar isu adat berkenaan tidak terus dipolemikkan sehingga mengganggu fokus parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kita tidak mahu isu di Negeri Sembilan tersangkut sehingga menimbulkan masalah ketika menghadapi Melaka. Kita mahu gelombang biru berterusan dari Johor, Negeri Sembilan hingga Melaka," katanya.
Beliau berpandangan rakyat Negeri Sembilan sudah memberikan kepercayaan kepada UMNO dan tidak mahu kemelut berkenaan berlarutan sehingga menjejaskan keyakinan mereka terhadap parti.
Justeru, katanya, penyelesaian segera penting bagi memastikan isu adat tidak terus menjadi polemik yang boleh mengganggu tumpuan UMNO serta keyakinan rakyat terhadap parti.
Beliau berharap kepimpinan negeri dapat melakukan yang terbaik bagi memastikan kemelut berkenaan diselesaikan dengan baik demi kepentingan Negeri Sembilan.






