
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dakwaan dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Pertemuan kira-kira pukul 4 petang di bilik khas ketika berlangsung Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Turut menyertai pertemuan itu ialah tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pertemuan tersebut diadakan susulan kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini yang memaklumkan mahu mendapatkan penjelasan daripada Ismail berhubung dakwaan berkenaan.
Ahmad Zahid sebelum ini berkata, beliau mahu mengetahui latar belakang kenyataan Ismail yang mendakwa terpaksa menandatangani dokumen terbabit.
Terdahulu, Ismail mendakwa beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Beliau memaklumkan laporan polis berhubung perkara itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.-UTUSAN
The post Zahid jumpa MB Negeri Sembilan berhubung isu surat proklamasi appeared first on Utusan Malaysia.





