Keuntungan 7-Eleven Malaysia jatuh 58.5% pada 2QFY26

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 2:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan 7-Eleven Malaysia jatuh 58.5% pada 2QFY26 Image from: Keuntungan 7-Eleven Malaysia jatuh 58.5% pada 2QFY26 amree21/08/2026 - 14:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos — Keuntungan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd merosot hampir 60% pada suku kedua 2026 meskipun hasil terus berkembang, dengan kumpulan memberi amaran rasionalisasi subsidi serta kenaikan kos pengangkutan dan utiliti boleh menekan perbelanjaan pengguna pada separuh kedua tahun ini.

 

Kumpulan peruncitan itu bagaimanapun kekal berhati-hati terhadap prestasi 2H26, disokong kesinambungan penggunaan domestik yang dijangka menjadi pemacu kepada permintaan dalam segmen peruncitan dan kedai serbaneka.

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, keuntungan bersih 7-Eleven Malaysia susut kira-kira 58.5% kepada RM8.3 juta, berbanding sebanyak RM19.9 juta dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

 

 

 

 

 

Hasil namun meningkat 9.7% kepada RM883.6 juta daripada RM805.6 juta setahun sebelumnya, menunjukkan pertumbuhan jualan masih berterusan meskipun tekanan terhadap keuntungan semakin ketara.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama 2026 (1H26), keuntungan bersih kumpulan merosot 57.5% kepada RM13 juta berbanding RM30.59 juta pada 1H25, manakala hasil meningkat 10.3% kepada RM1.72 bilion daripada RM1.56 bilion.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan berkata prospek penggunaan domestik yang berterusan memberikan asas sokongan kepada prestasi perniagaan untuk baki tahun ini.

 

7-Eleven_DagangNews2026

 

Namun, 7-Eleven Malaysia kekal berwaspada terhadap kesan rasionalisasi subsidi serta peningkatan caj pengangkutan dan utiliti yang berpotensi mencetuskan tekanan inflasi dan seterusnya menjejaskan kuasa beli pengguna.

 

Pada masa sama, rangkaian kedai serbaneka kumpulan terus berkembang pada kadar sederhana, selaras usaha memperluaskan capaian perniagaan dan mengekalkan pertumbuhan jangka panjang.

 

 

 

 

 

Kumpulan turut meneruskan proses menukar kedai format klasik kepada CAFé by 7-Eleven, bagi memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap makanan segar dan minuman serta mengembangkan sumber hasil daripada kategori tersebut.

 

Walaupun berdepan persekitaran kos dan pengguna yang mencabar, strategi pengembangan rangkaian serta penukaran format kedai dijangka menjadi antara usaha utama kumpulan untuk meningkatkan produktiviti dan menangkap perubahan corak perbelanjaan pengguna.

 

Bagi tempoh berkenaan, 7-Eleven Malaysia mengisytiharkan dividen 1.35 sen sesaham, lebih rendah berbanding 2.70 sen sesaham yang dibayar bagi tempoh sama tahun sebelumnya, mencerminkan tekanan terhadap keuntungan kumpulan pada separuh pertama 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved