
BANGI, 21 OGOS: Gimnas Selangor Cadence Teh Zi Qi meraih emas berganda pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas mempertahankan kejuaraan acara all-around individu wanita selain membantu tuan rumah merangkul emas berpasukan, hari ini.
Cadence berjaya mengekalkan kejuaraan acara all-round individu dengan mengumpul 48.550 mata menerusi 12.050 mata dalam acara melombol, 11.400 mata palang bertingkat, 13.350 mata batang titian dan 11.750 mata senaman lantai.
Aurin Zulkarnain dari Sarawak meraih perak dengan 44.500 mata, manakala wakil Wilayah Persekutuan, Annabelle Ho Syin Yee dan gimnas Pulau Pinang, Amanda Ching Lee Wern berkongsi gangsa selepas masing-masing mengumpul 42.250 mata.
Terdahulu, Cadence bergandingan dengan Nicole Wong Ziyi, Airisha Zuraidi, Wong Zi Qi, Leong Yee Shean dan Haifa Izzazi Mohd Faizul untuk membantu Selangor merangkul emas berpasukan wanita dengan 169.300 mata.
Wilayah Persekutuan meraih perak dengan 166.300 mata, manakala Johor membawa pulang gangsa selepas mengumpul 157.000 mata.
Cadence mengakui permulaannya dalam saingan acara all-round individu agak kurang baik selepas terjatuh sekali ketika aksi di palang bertingkat, namun bangkit dengan prestasi lebih mantap dalam tiga acara berikutnya untuk mempertahankan kejuaraan.
Gimnas kebangsaan berusia 17 tahun itu berkata demikian kepada pemberita selepas saingan final di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.
Cadence seterusnya akan beraksi dalam tiga final acara individu iaitu palang bertingkat, batang titian dan senaman lantai yang dijadualkan berlangsung esok dan Ahad.
-- BERNAMA






