Selangor sapu bersih empat emas BMX

21 Aug 2026 • 9:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Selangor sapu bersih empat emas BMX

PETALING JAYA: Kontinjen Selangor mencipta kejayaan bergaya apabila menyapu bersih empat pingat emas dalam acara BMX Flatland dan Park lelaki serta wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Xtreme Park MBPJ, hari ini.

Penguasaan Selangor terserlah dalam acara Park lelaki apabila Muhammad Khaidir Idzham Abdul Haqq tampil cemerlang untuk memenangi pingat emas, manakala rakan sepasukan, Ziyad Razzidin Mohd Zainurdin membawa pulang perak dan Randy Zulkarnain Mohd Zainurdin melengkapkan podium dengan pingat gangsa.

Image from: Selangor sapu bersih empat emas BMX
Khaidir Idzham

Bagi kategori wanita, pasangan adik-beradik, Nia Nur Aidryana Mohd Nor Aszeril dan Nur Airen Sofea, meneruskan kecemerlangan Selangor apabila masing-masing mendominasi kedudukan pertama dan kedua manakala gangsa menjadi milik wakil Sarawak, Airis Nabihah Rais.

Image from: Selangor sapu bersih empat emas BMX
Atlet basikal wanita Selangor, Nia Nur Aidryana Mohd Nor Aszeril ketika beraksi dalam acara BMX Park wanita akhir pada Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA), 2026 di Xtreme Park MBPJ, hari ini. Gambar/SHIDDIEQIIN ZON

Pada sesi pagi, Selangor terlebih dahulu membuka tirai kejayaan menerusi Wan Ayden Faiq Wan Azizul Fitri yang muncul juara acara Flatland lelaki manakala perak menjadi milik wakil Pulau Pinang, Muhammad Daniel Qhalish Mohammad Kasyidy dan gangsa diraih seorang lagi wakil Selangor, Mohammad Anwar Khairy.

Bagi kategori wanita pula, Nur Airen Sofea sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila meraih pingat emas untuk melengkapkan kemenangan berganda Selangor, manakala adiknya, Aidryana membawa pulang perak dan gangsa menjadi milik wakil Wilayah Persekutuan, Nur Qistina Adriana Mohd Nor Abadi.

Image from: Selangor sapu bersih empat emas BMX
Nur Aidryana

Mengulas lanjut, pengurus pasukan Selangor, Ismathinoon Abdul Rahim berkata, kejayaan tersebut didorong sokongan pihak pengurusan serta kemudahan latihan yang disediakan pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) buat atlet.

“Pihak pengurusan sudah melakukan yang terbaik untuk atlet dan kemudahan yang diberikan di sini oleh MBPJ antara yang terbaik. Jadi, kami berharap sukan BMX akan lebih menyerlah pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Khaidir yang membuat penampilan sulung di pentas temasya itu berkata, kunci kejayaannya adalah kekal konsisten dan berdisiplin serta tidak mengubah perancangan yang telah ditetapkan bersama jurulatih.

“Apa yang sudah dirancang dengan jurulatih jangan sesekali diubah. Konsisten adalah kunci, disiplin kena jaga dan jangan gementar. Buat seperti apa yang kita latih,” katanya.

Acara BMX Flatland dan Park yang dipertandingkan buat julung kalinya dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) mendapat sambutan menggalakan apabila ramai penonton yang datang bagi memberikan sokongan kepada atlet bertanding. – UTUSAN

The post Selangor sapu bersih empat emas BMX appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved