
PETALING JAYA – Selangor terus mengganas apabila menyapu bersih empat pingat emas BMX dalam acara flatland dan park lelaki serta wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 di Xtreme Park MBPJ, di sini, hari ini.
Penguasaan tuan rumah bermula dalam acara Park lelaki apabila Muhammad Khaidir Idzham Abdul Haqq tampil cemerlang untuk meraih emas, sekali gus mengetepikan rakan sepasukan, Ziyad Razzidin Mohd Zainurdin yang terpaksa berpuas hati dengan perak.
Seorang lagi wakil Selangor, Randy Zulkarnain Mohd Zainurdin, melengkapkan penguasaan tuan rumah apabila meraih gangsa untuk memastikan podium park lelaki dikuasai sepenuhnya atlet Selangor.

Dalam acara park wanita pula, gandingan adik-beradik, Nia Nur Aidryana Mohd Nor Aszeril dan Nur Airen Sofea, meneruskan pesta emas Selangor apabila masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua, manakala gangsa menjadi milik wakil Sarawak, Airis Nabihah Rais.
Pada sesi pagi, Selangor terlebih dahulu membuka tirai kejayaan menerusi Wan Ayden Faiq Wan Azizul Fitri yang muncul juara acara Flatland lelaki.
Pingat perak acara itu menjadi milik wakil Pulau Pinang, Muhammad Daniel Qhalish Mohammad Kasyidy, manakala seorang lagi wakil Selangor, Mohammad Anwar Khairy, meraih gangsa.
Nur Airen Sofea kemudian melengkapkan emas keempat Selangor apabila muncul juara flatland wanita, sekali gus mencipta pencapaian berganda selepas turut memenangi emas Park wanita.
Adiknya, Aidryana, membawa pulang perak, manakala wakil Wilayah Persekutuan, Nur Qistina Adriana Mohd Nor Abadi, meraih gangsa.
Mengulas kejayaan itu, pengurus pasukan Selangor, Ismathinoon Abdul Rahim berkata, pencapaian berkenaan tidak terhasil secara kebetulan sebaliknya hasil sokongan berterusan pihak pengurusan serta kemudahan latihan yang disediakan.
“Pihak pengurusan sudah melakukan yang terbaik untuk atlet dan kemudahan yang diberikan di sini oleh MBPJ antara yang terbaik.
“Jadi, kami berharap sukan BMX akan lebih menyerlah pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, Khaidir yang membuat penampilan sulung di pentas Sukma berkata, konsistensi dan disiplin menjadi kunci kejayaannya dalam menghadapi persaingan sengit.
“Apa yang sudah dirancang dengan jurulatih jangan sesekali diubah. Konsisten adalah kunci, disiplin kena jaga dan jangan gementar. Buat seperti apa yang kita latih,” katanya.
Acara BMX flatland dan park yang dipertandingkan buat julung kalinya di Sukma dan mendapat sambutan menggalakkan apabila menarik kehadiran ramai penonton yang hadir memberikan sokongan kepada atlet bertanding. -KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Selangor mengganas kutip empat emas BMX appeared first on Kosmo Digital.






