Keuntungan AEON meningkat 12.8% kepada RM107.2 juta disokong sumbangan segmen hartanah

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 5:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan AEON meningkat 12.8% kepada RM107.2 juta disokong sumbangan segmen hartanah Image from: Keuntungan AEON meningkat 12.8% kepada RM107.2 juta disokong sumbangan segmen hartanah liza20/11/2026 - 17:30 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov – AEON Co (M) Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 12.8% kepada RM107.2 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY2026), berbanding RM95 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan keuntungan itu dicapai meskipun hasil kumpulan hanya berkembang 0.3% kepada RM3.25 bilion berbanding RM3.24 bilion sebelumnya, disokong sumbangan lebih tinggi daripada segmen perkhidmatan pengurusan hartanah serta pengurusan kos yang berdisiplin.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Q3FY2026), AEON merekodkan hasil sebanyak RM1.01 bilion, meningkat 1.6% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Prestasi itu mencerminkan pemulihan secara beransur-ansur dalam perbelanjaan pengguna, khususnya menerusi perniagaan peruncitan yang kembali mencatatkan pertumbuhan dalam suku berkenaan.

 

Segmen pengurusan hartanah catat pertumbuhan lebih tinggi

Segmen perniagaan peruncitan AEON merekodkan peningkatan hasil sebanyak 1% kepada RM811 juta bagi Q3FY2026, mencerminkan pemulihan beransur-ansur perbelanjaan pengguna.

 

Sementara itu, segmen perkhidmatan pengurusan hartanah mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 3.9% kepada RM200 juta, disokong kadar penghunian pusat beli-belah yang stabil serta kejayaan memperbaharui kontrak penyewaan.

 

Pengarah Urusan AEON, Tsugutoshi Seko berkata, prestasi kewangan itu mencerminkan pelaksanaan strategi syarikat secara berdisiplin, termasuk pengurusan kos yang teliti serta pelaburan strategik bagi meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan.

 

Menurutnya, AEON turut memperluas rangkaian jenama persendiriannya (Private Brands), memperkukuh program kesetiaan pelanggan serta memperbaharui kombinasi penyewa bagi memastikan pusat beli-belah dan kedainya terus relevan dengan keperluan pengguna.

 

Beliau berkata, kumpulan itu juga komited mempercepat transformasi digital dan inisiatif kelestarian, selain terus menaik taraf aset serta infrastruktur peruncitannya bagi meningkatkan daya saing pusat beli-belah dan kedai AEON.

 

AEON Mall KL Midtown jadi pusat beli-belah ke-28

Dalam perkembangan operasi, AEON memperluas portfolio pusat beli-belahnya menerusi pembukaan awal AEON Mall KL Midtown pada 5 November 2026 yang menjadi pusat beli-belah ke-28 kumpulan itu di Malaysia.

 

Pusat beli-belah lapan tingkat itu merupakan pembangunan pertama AEON dalam projek pembangunan bercampur bersepadu yang menggabungkan komponen peruncitan, kediaman, hotel dan pejabat.

 

Menjelang pembukaan rasmi pada awal 2027, AEON Mall KL Midtown sudah merekodkan sambutan penyewaan yang menggalakkan dan dijangka menempatkan lebih 130 premis peruncitan, dengan pasar raya AEON sebagai penyewa utama.

 

Pusat beli-belah itu menawarkan gabungan peruncitan, makanan dan minuman serta gaya hidup, selain pasar raya AEON dengan susun atur moden dan pilihan makanan sedia dimakan bagi memenuhi keperluan harian pengguna.

 

Menariknya, AEON Mall KL Midtown turut menampilkan premis khusus bagi jenama persendirian AEON sebagai ganti kepada kedai barangan am selaras usaha kumpulan menyesuaikan penawaran peruncitannya dengan perubahan cita rasa pengguna.

 

Kerja naik taraf pusat beli-belah diteruskan

Dalam pada itu, inisiatif penambahbaikan aset kumpulan turut mencatat perkembangan apabila kerja pengubahsuaian di AEON Permas Jaya dan AEON Kinta City selesai dilaksanakan.

 

AEON Permas Jaya dibuka semula pada Oktober 2026 selepas kerja naik taraf melibatkan bahagian hadapan bangunan serta kemudahan dalam kedai, manakala AEON Kinta City dijadualkan memperkenalkan wajah baharunya menjelang akhir tahun ini.

 

Bagi AEON Seremban 2, kerja luaran bagi bangunan tambahan baharu sudah selesai, sementara kerja pengubahsuaian pusat beli-belah sedia ada berjalan lancar. Keseluruhan pembangunan itu disasarkan siap menjelang akhir 2027.

 

Berhati-hati terhadap ketidaktentuan ekonomi global

Mengulas prospek, AEON kekal berhati-hati terhadap perkembangan ekonomi global yang berubah-ubah serta kemungkinan kesannya terhadap sentimen pengguna.

 

Bagaimanapun, kumpulan menjangkakan permintaan terhadap barangan keperluan asas kekal stabil dan akan memanfaatkan musim perayaan akan datang menerusi promosi bersasar serta usaha meningkatkan penglibatan pelanggan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved