Keuntungan bersih IJM melonjak 254.5% kepada RM233.2 juta, pengagihan dividen cecah RM438 juta

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 5:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan bersih IJM melonjak 254.5% kepada RM233.2 juta, pengagihan dividen cecah RM438 juta Image from: Keuntungan bersih IJM melonjak 254.5% kepada RM233.2 juta, pengagihan dividen cecah RM438 juta sarah26/11/2026 - 17:15 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov - IJM Corporation Bhd mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 254.5% kepada RM233.2 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (2QFY27), berbanding RM65.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu, disokong prestasi kukuh segmen pembinaan, pembangunan hartanah serta pembuatan dan kuari.

 

Kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak dua sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi FY2027 setakat ini sebanyak 12 sen sesaham atau RM438 juta, termasuk dividen khas 10 sen sesaham yang dibayar pada 15 Oktober lalu.

 

Berdasarkan laporan kewangan suku tahunan yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia hari ini, pendapatan IJM bagi suku kedua meningkat 42.7% kepada RM2.39 bilion berbanding RM1.67 bilion, manakala keuntungan kasar meningkat 44% kepada RM483.2 juta.

 

Bagi enam bulan pertama FY2027, keuntungan bersih kumpulan meningkat 129.6% kepada RM370.6 juta berbanding RM161.4 juta, manakala pendapatan meningkat 37.4% kepada RM4.68 bilion daripada RM3.41 bilion.

 

Aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi bagi tempoh enam bulan itu turut meningkat ketara kepada RM842.3 juta berbanding RM130.1 juta setahun sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan IJM, Datuk Lee Chun Fai berkata, prestasi suku kedua mencerminkan momentum operasi yang semakin kukuh merentasi semua bahagian perniagaan kumpulan, selain peningkatan kualiti pendapatan.

 

Kontrak baharu IJM cecah RM3.5 bilion

Pendapatan segmen pembinaan meningkat 36.8% kepada RM1.13 bilion pada suku kedua, disokong pelaksanaan projek yang lebih rancak, manakala buku tempahan pembinaan bernilai RM14.5 bilion merangkumi projek pusat data berskala besar, kemudahan pembuatan termaju, gudang dan infrastruktur jalan raya.

 

Pada Oktober 2026, IJM memperoleh kontrak bernilai RM1.2 bilion bagi membina kemudahan pembuatan semikonduktor di Kulim Hi-Tech Park, Kedah, yang dijadualkan siap dalam tempoh 14 bulan, menjadikan jumlah kontrak baharu bagi FY2027 setakat ini kira-kira RM3.5 bilion.

 

Segmen pembuatan dan kuari pula mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 61.9% kepada RM501.8 juta, didorong peningkatan penghantaran cerucuk, produk kuari dan konkrit siap bancuh susulan permintaan daripada projek pusat data, kemudahan perindustrian dan infrastruktur.

 

Penjualan tanah pacu pendapatan hartanah

Pendapatan segmen pembangunan hartanah melonjak 61.2% kepada RM530.9 juta berbanding RM329.3 juta setahun sebelumnya, terutamanya hasil penyempurnaan urus niaga penjualan tanah perindustrian di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Negeri Sembilan.

 

IJM turut mencatatkan keuntungan RM34 juta daripada pelupusan hartanah pelaburan oleh anak syarikat tidak langsungnya, IJM Properties Sdn Bhd kepada Coupang Sdn Bhd, yang diselesaikan pada September 2026 dan diklasifikasikan sebagai urus niaga pihak berkaitan.

 

Di Pulau Pinang, pusat beli-belah The Waterfront Shoppes di The Light City dengan keluasan lantai kasar 1.2 juta kaki persegi dan kira-kira 300 ruang runcit mula dibuka pada 29 Oktober lalu, manakala hotel lima bintang dengan 459 bilik disasarkan dibuka secara berperingkat mulai suku keempat 2026.

 

Meskipun sentimen pasaran hartanah kediaman semakin lemah, IJM menjangkakan prestasi segmen berkenaan bertambah baik pada tahun kewangan ini, disokong jualan belum dibil kira-kira RM1.9 bilion serta portfolio hartanah pelaburan yang bakal menjana pendapatan berulang.

 

IJM sasar agih RM3 bilion kepada pemegang saham

IJM menyasarkan pengagihan RM3 bilion kepada pemegang saham dalam tempoh tiga tahun menerusi inisiatif merealisasikan nilai kumpulan, selain mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan deposit, tunai dan baki bank sebanyak RM2.37 bilion serta nisbah penggearan bersih 0.46 kali setakat 30 September 2026.

 

Dividen interim pertama sebanyak dua sen sesaham yang diumumkan itu akan dibayar pada 7 Januari 2027 kepada pemegang saham yang layak pada 16 Disember 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved