Grand Saga, Grand Sepadu peroleh pampasan tol kerajaan RM146.5 juta, sokong prestasi Taliworks

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 6:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Grand Saga, Grand Sepadu peroleh pampasan tol kerajaan RM146.5 juta, sokong prestasi Taliworks Image from: Grand Saga, Grand Sepadu peroleh pampasan tol kerajaan RM146.5 juta, sokong prestasi Taliworks sarah26/11/2026 - 18:12 Gambar dari laman web Grand Saga Sdn Bhd Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov - Dua syarikat konsesi lebuh raya di bawah portfolio Taliworks Corporation Bhd memperoleh pampasan kerajaan berjumlah RM146.5 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY2026), sekali gus menjadi pemacu utama peningkatan prestasi kewangan kumpulan.

 

Taliworks berkata, Grand Saga Sdn Bhd yang mengendalikan Lebuhraya Cheras-Kajang mengiktiraf pampasan kerajaan sebanyak RM75.8 juta, terutamanya berkaitan penangguhan kenaikan kadar tol yang dijadualkan pada 2020 dan 2025.

 

Sebahagian kecil daripada pampasan berkenaan turut membabitkan pengecualian tol yang diberikan sempena musim perayaan.

 

Sementara itu, syarikat usaha samanya, Grand Sepadu (NK) Sdn Bhd yang mengendalikan Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baharu mengiktiraf pampasan kerajaan sebanyak RM70.7 juta.

 

Pampasan berkenaan menyumbang kepada peningkatan bahagian keuntungan Taliworks daripada Grand Sepadu kepada RM21 juta pada suku ketiga, berbanding RM1.3 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Semakan kos projek Sungai Rasau jejas segmen pembinaan

Bagaimanapun, peningkatan prestasi daripada perniagaan konsesi lebuh raya itu sebahagiannya diimbangi kerugian operasi sebanyak RM30.5 juta dalam segmen pembinaan.

 

Kerugian tersebut berpunca terutamanya daripada semakan anggaran kos bagi Pakej 2 Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau Peringkat 1 susulan perubahan jadual pelaksanaan projek berkenaan.

 

Taliworks turut mencatatkan bahagian kerugian sebanyak RM8.3 juta daripada syarikat berseketutunya, SWM Environment Holdings Sdn Bhd (SWMEH), berbanding bahagian keuntungan RM27.1 juta setahun sebelumnya yang disokong keuntungan sekali sahaja berkaitan penyelesaian bayaran tertunggak pelanggan.

 

Pengarah Eksekutif Taliworks, Kevin Chin berkata, kumpulan kekal berwaspada dan berdisiplin dalam menguruskan kos serta sumber ketika berdepan persekitaran kos yang tidak menentu, selain memberi tumpuan kepada penyiapan projek mengikut jadual.

 

Pendapatan suku ketiga meningkat 65.7%

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, pendapatan Taliworks meningkat 65.7% kepada RM183.6 juta, manakala keuntungan selepas cukai berjumlah RM59.8 juta.

 

Untuk tempoh sembilan bulan pertama FY2026, pendapatan kumpulan meningkat 31.4% kepada RM432.8 juta, manakala keuntungan selepas cukai meningkat 8.5% kepada RM84.7 juta, disokong pampasan tol dan peningkatan sumbangan keuntungan daripada Grand Sepadu.

 

Melangkah ke hadapan, Taliworks akan terus menguruskan peruntukan sumber secara berhemah, di samping menilai peluang memperoleh projek baharu serta pelanjutan kontrak sedia ada bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved