sarah26/11/2026 - 17:30 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov - SkyWorld Development Bhd memiliki tunai dan baki bank sebanyak RM388.8 juta setakat 30 September 2026 bagi menyokong pelaksanaan projek sedia ada serta rancangan pengembangan perniagaannya, termasuk pelancaran projek hartanah baharu di seluruh Malaysia.
Pemaju hartanah bandar itu menyasarkan pelancaran projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (FY2027), selain mengekalkan nisbah penggearan bersih pada 0.44 kali.
Prospek pertumbuhan kumpulan turut disokong jualan hartanah belum dibil yang meningkat lebih dua kali ganda kepada RM1.2 bilion setakat 30 September 2026, berbanding RM589 juta setahun sebelumnya, sekali gus menyediakan asas pendapatan dalam jangka pendek hingga sederhana.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld Development, Lee Chee Seng berkata, tumpuan kumpulan adalah terhadap pelaksanaan projek secara berdisiplin, memperkukuh perancangan pembangunan serta melancarkan projek baharu yang memenuhi permintaan pasaran.
“Dengan jualan belum dibil mencapai paras tertinggi RM1.2 bilion, kami mempunyai asas yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kilang pembinaan modular di Pulau Pinang dijangka siap Mac 2027
SkyWorld terus menjadikan Pulau Pinang sebagai pasaran pertumbuhan utama, dengan pembangunan kilang bagi teknologi pembinaan modular prasiap (PPVC) berjalan lancar dan dijangka siap menjelang akhir tahun kewangan semasa pada Mac 2027.
Menurut Chee Seng, kemudahan pembuatan itu akan meningkatkan kecekapan pembinaan, memastikan mutu yang konsisten serta membolehkan kumpulan memperluas skala pembangunan projek.
Di peringkat serantau, SkyWorld turut memperluas kehadirannya di Vietnam menerusi sesi pratonton projek kediaman SkySolis pada Julai 2026, dengan membawa konsep kediaman bandarnya ke pasaran serantau yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi.
Lima projek hartanah pacu lonjakan pendapatan
Bagi suku kedua FY2027 berakhir 30 September 2026, keuntungan bersih SkyWorld melonjak 174.6% kepada RM21.8 juta, manakala pendapatan meningkat 116.9% kepada RM188 juta berbanding RM86.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan itu didorong pengiktirafan hasil secara berperingkat daripada lima projek pembangunan yang sedang dilaksanakan, dengan sumbangan sebanyak RM144.7 juta atau 77% daripada keseluruhan pendapatan suku berkenaan, manakala keuntungan kasar meningkat 91% kepada RM59.1 juta.
Bagi enam bulan pertama FY2027, keuntungan bersih kumpulan meningkat 150.7% kepada RM27 juta, manakala pendapatan melonjak 84% kepada RM296.7 juta berbanding RM161.3 juta setahun sebelumnya.
Lembaga pengarah SkyWorld turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.52 sen sesaham bagi FY2027, membabitkan jumlah pembayaran RM5.3 juta yang dijadualkan pada 18 Januari 2027. - DagangNews.com






