sarah26/11/2026 - 17:51 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov - Glomac Bhd mencatatkan lonjakan pendapatan sebanyak 114% kepada RM175 juta bagi enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 April 2027 (FY2027), berbanding RM81.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong sumbangan daripada tiga projek pembangunan hartanah utama.
Projek tersebut merangkumi pembangunan rumah berkembar KEYS di Lakeside Residences, rumah kedai di Saujana Perdana serta rumah teres SERAI di Sungai Buloh Country Resort (SBCR).
Peningkatan pendapatan itu turut menyaksikan keuntungan bersih Glomac melonjak kepada RM26.5 juta berbanding RM2.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan kasar kumpulan meningkat kepada RM61.5 juta daripada RM25.9 juta, manakala margin keuntungan kasar bertambah kepada 35.2% berbanding 31.7%, disokong kecekapan operasi dan pengurusan kos dalam menghadapi tekanan kos luaran.
Pelancaran projek baharu bernilai RM371 juta
Bagi mengekalkan momentum pertumbuhan, Glomac merancang pelancaran projek baharu dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM371 juta bagi FY2027, dengan tumpuan kepada hartanah komersial dan kediaman bertanah.
Projek QAYA yang merangkumi 55 unit kedai pejabat di Saujana Perdana dengan anggaran GDV sebanyak RM78 juta mencatatkan kadar pengambilan kira-kira 80% sejak dilancarkan pada September 2026.
Pada November 2026, Glomac turut melancarkan fasa pertama NEXA di Saujana KLIA yang menawarkan 50 unit kedai pejabat dengan anggaran GDV sebanyak RM65 juta, sebagai sebahagian daripada pembangunan bandar terancang itu yang mempunyai GDV keseluruhan RM1.4 bilion.
Di SBCR pula, kumpulan melancarkan SERAI 3 yang menawarkan 90 unit rumah teres dua tingkat dengan anggaran GDV sebanyak RM69 juta, selepas fasa pertama habis dijual, manakala fasa kedua mencatatkan kadar pengambilan kira-kira 85%.
Glomac teroka peluang pengembangan perniagaan
Setakat 31 Oktober 2026, Glomac mempunyai baki tunai dan bank sebanyak RM232 juta, manakala jumlah liabilitinya berkurangan kepada RM514.4 juta berbanding RM593.1 juta pada 30 April 2026.
Akses kepada Program Sukuk Wakalah sehingga RM3 bilion turut memperkukuh keupayaan kewangan kumpulan untuk meneruskan aktiviti pembangunan, mempertimbangkan pemerolehan tanah secara strategik serta meneroka peluang pengembangan perniagaan.
Memasuki separuh kedua FY2027, Glomac kekal optimistik secara berhati-hati terhadap prospek pembangunan hartanahnya, dengan mengambil kira ketidaktentuan geopolitik serta tekanan peningkatan kos.
“Pelancaran projek akan ditentukan dan dilaksanakan berdasarkan keadaan pasaran semasa, sentimen pembeli serta persekitaran ekonomi keseluruhan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.- DagangNews.com






