sarah25/11/2026 - 11:20 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov - Wasco Berhad berpotensi mencatatkan keuntungan bersih teras lebih tinggi sekiranya memperoleh kelulusan bagi arahan perubahan kerja (VO) bernilai RM28 juta yang dijangka diterima pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26).
RHB Research dalam nota kajiannya hari ini berkata, keuntungan bersih teras Wasco bagi sembilan bulan pertama FY26 merosot 73.7% tahun ke tahun kepada RM18.7 juta, namun jumlah itu belum mengambil kira VO berkenaan yang melibatkan kerja pada suku ketiga FY26.
Sekiranya VO tersebut diluluskan dan diambil kira, keuntungan bersih teras selepas pelarasan akan meningkat kepada RM46.7 juta, sekali gus memenuhi 80% daripada unjuran RHB Research dan 72% daripada jangkaan konsensus pasaran bagi FY26.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan berpandangan prestasi kewangan Wasco secara umumnya masih sejajar dengan jangkaan, tertakluk kepada kelulusan VO tersebut.
Pemulihan perniagaan salutan paip dijangka pada 2027
RHB Research menjangkakan kelemahan keuntungan semasa Wasco sebahagian besarnya berpunca daripada kelewatan pelaksanaan projek, dengan aktiviti salutan paip berpotensi pulih apabila projek yang tertangguh disambung semula secara berperingkat.
Dalam pada itu, cadangan pelupusan keseluruhan bahagian kejuruteraan dan fabrikasi Wasco kepada NMDC Energy pada harga RM782.2 juta dijangka selesai pada suku pertama 2027, dengan keuntungan sekali sahaja sebanyak RM340.3 juta serta membiayai pembayaran dividen khas sebanyak 30 sen sesaham.
Pelupusan itu dijangka mengubah struktur pendapatan kumpulan dengan baki operasi tertumpu kepada perkhidmatan saluran paip dan biotenaga, manakala pemulihan aktiviti saluran paip pada FY27 dijangka disokong pelaksanaan projek baharu di Malaysia serta potensi peluang perniagaan di luar negara.
Konflik Asia Barat jejas pelaksanaan projek
Bagi 3QFY26, pendapatan Wasco merosot 29.8% kepada RM421.3 juta berikutan sumbangan lebih rendah daripada segmen perkhidmatan tenaga dan tenaga boleh baharu, dengan gangguan rantaian bekalan akibat konflik berterusan di Asia Barat menjejaskan jadual pelaksanaan projek.
Kumpulan mencatatkan kerugian bersih teras RM5.1 juta pada suku berkenaan berbanding keuntungan RM25 juta dalam tempoh sama tahun lalu, selepas mengambil kira pelarasan bagi perkara tidak berulang dan pembalikan rosot nilai.
RHB Research mengekalkan unjuran keuntungan bersih berulang Wasco sebanyak RM58 juta bagi FY26, RM82 juta bagi FY27 dan RM113 juta bagi FY28, selain mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM1.15.- DagangNews.com






