liza29/10/2026 - 11:28 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt – Keuntungan operasi segmen pembuatan Pantech Group Holdings Bhd yang melonjak 72.6% kepada RM27.4 juta pada suku kedua tahun kewangan 2027 (2QFY27) disokong peningkatan jumlah dan harga jualan purata produk keluli tahan karat serta keluli karbon.
TA Research berkata prestasi segmen itu turut didorong peningkatan hasil sebanyak 32.6% kepada RM193.6 juta berbanding RM146 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata peningkatan keuntungan operasi yang lebih tinggi berbanding pertumbuhan hasil menunjukkan margin keuntungan segmen pembuatan turut bertambah baik dalam tempoh berkenaan.
Margin keuntungan operasi sebelum faedah dan cukai (EBIT) segmen pembuatan meningkat kepada 14.2% pada 2QFY27 berbanding 10.9% setahun sebelumnya, iaitu kenaikan 3.3 mata peratusan.
Bagi suku berkenaan, keuntungan operasi segmen pembuatan kelengkapan paip meningkat kepada RM27.4 juta daripada RM15.9 juta pada 2QFY26.
Sementara itu, segmen perdagangan paip, kelengkapan dan bebibir mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 18.6% kepada RM123.6 juta berbanding RM104.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, keuntungan operasi segmen perdagangan merosot 35% kepada RM5 juta daripada RM7.7 juta dalam tempoh sama, menunjukkan prestasi kedua-dua segmen berbeza walaupun hasil kumpulan meningkat.
Hasil kumpulan meningkat 23.8%
Secara keseluruhan, Pantech mencatatkan hasil RM281.5 juta pada 2QFY27, meningkat 23.8% daripada RM227.4 juta setahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai kumpulan pula meningkat 42.1% kepada RM32.3 juta berbanding RM22.7 juta pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2027 (1HFY27), hasil kumpulan meningkat 15.2% kepada RM516.2 juta, manakala keuntungan sebelum cukai naik 28% kepada RM60.7 juta.
Bagaimanapun, keuntungan bersih teras bagi tempoh enam bulan itu turun 2.4% kepada RM35.4 juta berbanding RM36.2 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. Pantech turut mencadangkan dividen interim sebanyak tiga sen sesaham.
Pemulihan minyak dan gas sokong prospek
Mengulas prospek kumpulan, TA Research kekal positif terhadap perkembangan pendapatan Pantech bagi tempoh 18 bulan akan datang, disokong pemulihan beransur-ansur aktiviti minyak dan gas domestik.
Firma penyelidikan itu berkata peningkatan pertanyaan pelanggan dan aliran tempahan yang lebih baik menunjukkan persekitaran permintaan semakin baik, selaras dengan prospek aktiviti yang digariskan dalam ‘PETRONAS Activity Outlook 2026–2028’.
TA Research menjangkakan harga jualan purata yang lebih tinggi serta penukaran tempahan kepada jualan yang lebih baik akan menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan sepanjang FY27 hingga FY28.
Bagaimanapun, kos bahan mentah dan kos pemprosesan yang tinggi kekal sebagai cabaran utama. Kumpulan dijangka bergantung pada pelarasan harga jualan, disiplin penetapan harga, automasi dan peningkatan kecekapan operasi bagi membantu mengekalkan margin keuntungan.
TA Research mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY27 dan FY28 serta harga sasaran RM0.70 sesaham dengan saranan Beli dikekalkan. - DagangNews.com






