Keuntungan Samsung Meningkat 750% Pada Q1 2026 Kerana AI

TechnologyBusiness & Finance
30 Apr 2026 • 4:51 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Keuntungan Samsung Meningkat 750% Pada Q1 2026 Kerana AI

Dunia sedang mengalami tekanan berkembar harga peranti naik kerana harga memori melonjak dipacu permintaan pusat data dan krisis bahan api disebabkan peperangan di Asia Barat. Ketika beberapa syarikat mengurangkan tenaga kerja kerana kerugian, Samsung mencatatkan keuntungan operasi Q1 57.2 trilion won (~RM 153 bilion) pada Q1 2025 bersamaan peningkatan lebih 750% berbanding suku sama tahun lalu. Ini adalah peningkatan keuntungan tertinggi suku pernah dicatatkan oleh Samsung.

Image from: Keuntungan Samsung Meningkat 750% Pada Q1 2026 Kerana AI

Pendapatan syarikat dalam suku sama ialah 133.9 trilion won yang bersamaan peningkatan 70%. Peningkatan keuntungan yang sangat tinggi ini dipacu oleh permintaan tinggi untuk memori HBM (High‑Bandwidth Memory) dan memori pelayar untuk pusat data AI. Memori yang dihasilkan Samsung Semicondutors telah dijual pada harga premium dengan margin keuntungan yang besar. Jualan cip sahaja menyumbang pendapatan 81.7 trilion won.

Sungguhpun begitu pada waktu yang sama, perniagaan peranti mudah alih Samsung MX pula berhadapan dengan masalah tahun ini. Kos memori dan storan tinggi akan menyebabkan margin keuntungan mengecil. Kami telah laporkan sebelum ini, Samsung MX mungkin akan mencatatkan kerugian pertama tahun ini disebabkan krisis RAM.

Satu ironi yang besar kerana sudah dua tahun berturut-turut Samsung memberikan tumpuan kepada ciri AI pada telefon Galaxy. Kini kerana AI, pendapatan anak syarikat Samsung ini terjejas teruk.

View Original Article