Kevin O’Buckley, SVP dan ketua Intel Foundry baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa beliau telah meninggalkan Intel Foundry dengan serta-merta dan akan menyertai Qualcomm setelah hanya dua tahun mengetuai anak syarikat tersebut, yang kini dilihat sedang berada dalam fasa paling penting dalam syarikat tersebut dimana proses 18A mereka baru sahaja memulakan operasi mengeluarkan cip pemprosesan baru seperti Intel Panther Lake dan tidak lama lagi Nova Lake.

Di Qualcomm, beliau akan memegang jawatan Global Operations and Supply Chain yang bertanggungjawab untuk pengeluaran cip pemprosesan pada skala global, kejuruteraan pengeluaran cip, perhubungan dengan klien pengilang dan komponen-komponen mereka.
Dengan lantikan ini, ia dilihat bahawa Kevin O’Buckley juga akan berbincang dengan pelbagai syarikat pengilang dan pengeluar komponen untuk memastikan bahawa bekalan bahan dan komponen Qualcomm mencukupi untuk mereka mengeluarkan cip-cip pemprosesan baru tanpa masalah.

Jawatan beliau di Intel Foundry akan diambil oleh Naga Chandrasekaran, Ketua Pegawai Teknologi dan Operasi di Intel Foundry yang kini akan bertanggungjawab untuk pembangunan teknologi proses pengeluaran cip semikonduktor dan juga operasi pengeluaran harian Intel Foundry untuk memastikan bahawa kilang mereka sentiasa beroperasi dengan baik untuk pengeluaran sendiri dan juga klien-klien mereka.
Sebagai EVP dan CTO untuk Intel Foundry, secara teknikalnya Naga Chandrasekaran sudahpun bertanggungjawab untuk syarikat tersebut, tetapi kini nampaknya tanggungjawab akan menjadi lebih besar, mungkin sehingga mereka menemui SVP dan pengurus besar baru yang boleh mengambil-alih tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Kevin O’Buckley.



