Samsung Foundry merupakan bahagian pengeluaran cip semikonduktor Samsung yang bertanggungjawab untuk menghasilkan komponen-komponen seperti cip pemprosesan, storan dan memori bukan sahaja untuk syarikat tersebut, tetapi juga untuk syarikat-syarikat lain, seperti NVIDIA dan Qualcomm yang pernah menggunakan khidmat mereka sebelum ini.
Walaupun begitu, sebelum ledakan permintaan komponen untuk menguasakan pusat data AI, Samsung Foundry memperlihatkan penggunaan kapasiti sekitar 50 peratus sahaja, dan itu juga adalah pada waktu apabila Samsung menghasilkan komponen-komponen untuk produk mereka sendiri.
Kini, dengan permintaan memori dan storan yang semakin tinggi, khususnya dari syarikat-syarikat AI, penggunaan kapasiti pengeluaran kilang Samsung Foundry dilihat telah meningkat ke 80 peratus sepanjang masa pada suku ini, khususnya untuk pengeluaran memori HBM4 yang dihasilkan menggunakan proses 4nm.

Dua kilang yang dikatakan menghasilkan komponen cip semikonduktor terbanyak setakat ini adalah Pyeongtaek Campus P2 dan Campus P3.
Kelebihan untuk Samsung juga ialah apabila syarikat-syarikat besar kini semuanya sedang memfokuskan kepada pengeluaran komponen semikonduktor menggunakan proses 3nm dan keatas, Samsung merupakan salah satu syarikat yang masih mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan komponen cip semikonduktor dengan proses 4, 5 dan 7nm yang kini dilihat sudah matang teknologinya.
Dalam pada itu, pendapatan tinggi Samsung pada suku ini juga adalah berterima kasih kepada pelanggan-pelanggan seperti Tesla yang mana Samsung sedang mengilangkan cip automotif Tesla AI5 dan juga sensor imej untuk kamera peranti Apple iPhone akan datang.


