“Setakat ini tidak!” – PAS nafi sepentas dengan BN umum calon PRN Melaka

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 2:29 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

PAS menafikan akan berkongsi pentas dengan Barisan Nasional (BN) bagi mengumumkan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti yang dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Image from: “Setakat ini tidak!” – PAS nafi sepentas dengan BN umum calon PRN Melaka

Foto: Berita Harian

Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu menjangkakan pengumuman calonnya dibuat pada 28 atau 29 Oktober, dalam minggu terakhir sebelum hari penamaan calon.

“Setakat ini tidak. Kita akan umum pada minggu-minggu akhir, sama ada 28 atau 29 hari bulan,” katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau sebelum itu menyampaikan ceramah Kuliah Pagi Jumaat Perdana bersempena Karnival Rakyat 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV.

Penjelasan itu menyusul laporan media pada Khamis bahawa BN dan PAS dijangka mengumumkan calon masing-masing dalam satu majlis pada Sabtu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi BN, sebelum ini memaklumkan jangkaan kedua-dua parti berkongsi pentas bagi pengumuman berkenaan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PAS memberi ruang kepada BN untuk mengumumkan calon terlebih dahulu sebelum parti itu memperkenalkan senarai calonnya sendiri.

Menurutnya, keutamaan ketika ini ialah memastikan kerjasama antara parti yang terlibat dapat berlangsung dengan baik sepanjang menghadapi PRN Melaka.

“Yang penting ialah kerjasama itu dapat diteruskan dengan baik dan memberi kekuatan kepada parti-parti yang terlibat,” tambahnya lagi.

Beliau menjelaskan, kerjasama berkenaan berpaksikan persefahaman antara parti, dengan pendekatan seumpama yang digunakan ketika PRN Negeri Sembilan sebelum ini.

Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved