
Khazanah Nasional Bhd membentangkan kemajuan pelaburan dan pengukuhan tadbir urus dalam mesyuarat Lembaga Pengarah yang dipengerusikan Perdana Menteri.
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah ketiganya bagi tahun ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Pada mesyuarat itu, barisan pengurusan Khazanah memberi taklimat berkaitan perkara, termasuk usaha meningkatkan nilai pelaburannya sebagai pemegang saham aktif, mewujudkan portfolio lebih berdaya tahan serta memperkukuh amalan tadbir urus di seluruh syarikat pelaburannya.
Menurut Khazanah, meskipun berdepan persekitaran makroekonomi yang mencabar, pulangan jangka panjang Khazanah terus mengatasi sasaran yang ditetapkan.
Selain itu, selaras dengan Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) oleh Kementerian Kewangan, Khazanah kekal komited dalam pelaburan langsung domestik berteraskan empat tonggaknya iaitu Transformasi Firma, Peralihan Tenaga, Ketersambungan dan Pendigitalan.
Pada sesi itu juga, Lembaga Pengarah menerima perkembangan terkini usaha Khazanah dalam mencipta nilai kemasyarakatan menerusi inisiatif pembangunan kapasiti dan pembangunan komuniti seperti program K-Youth selain usaha yang dilaksanakan oleh Yayasan Hasanah.
Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Khazanah berkata : “Saya hargai pengurusan Khazanah atas pendekatan proaktif dan teliti serta menjunjung piawaian tadbir urus yang tinggi.”
Dalam mesyuarat itu dan selaras dengan piawaian tadbir urusnya, Khazanah turut membangkitkan isu-isu legasi yang perlu diselesaikan, khususnya berkaitan Xeraya Capital, anak syarikat milik penuh Khazanah yang ditubuhkan pada 2012 bagi mengurus pelaburan dalam sektor sains hayat.
Pada Julai 2026, Lembaga Pengarah Xeraya, dalam melaksanakan tanggungjawab pengawasan tadbir urusnya, telah mengenal pasti ketidakaturan dalam dokumentasi berkaitan urus niaga terdahulu yang memerlukan semakan lanjut.
Perdana Menteri berkata: “Setelah Lembaga Pengarah dimaklumkan mengenai perkara tersebut, saya telah mengarahkan pengurusan Khazanah untuk memulakan siasatan forensik mengikut piawaian tertinggi tadbir urus dan proses sewajarnya serta, jika perlu, melibatkan pihak berkuasa yang berkaitan.”
Pada akhir mesyuarat itu, Anwar berkata secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai oleh Khazanah dan pasukan pengurusannya.
“Saya mahu menggalakkan mereka agar terus berusaha Memajukan Malaysia dengan Meningkatkan Siling dan Menaikkan Lantai, sambil Menegakkan Tadbir Urus yang Baik, selaras dengan prinsip Ekonomi MADANI,” kata Anwar.






