RCI Tabung Haji Fokus Soal Integriti, Bukan Kaum Atau Agama - IKIM

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 4:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

RCI Tabung Haji Fokus Soal Integriti, Bukan Kaum Atau Agama - IKIM

KUALA LUMPUR - Dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) perlu dilihat dari sudut integriti, tadbir urus dan kepercayaan awam, bukannya sebagai isu yang berkait dengan kaum atau agama.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, pemahaman yang tepat terhadap isu-isu dibangkitkan RCI amat penting bagi memulihkan keyakinan pendeposit serta memastikan kelangsungan Tabung Haji dalam jangka panjang.

“Paling penting, kita mahu mengembalikan keyakinan masyarakat dan pendeposit terhadap Tabung Haji.

“Tanpa kepercayaan masyarakat, sama ada pendeposit Islam mahupun bukan Islam, terhadap kredibiliti Tabung Haji, kita bimbang institusi ini tidak dapat mencapai tahap kelestarian yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program literasi media berkaitan RCI Tabung Haji anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan IKIM.

Program berkenaan bertujuan memberikan kefahaman lebih jelas kepada pengamal media dan orang ramai mengenai dapatan RCI dari perspektif Islam, selain menjelaskan perkembangan tindakan penguatkuasaan yang sedang dijalankan.

Mohamed Azam berkata, Tabung Haji mempunyai kedudukan yang unik berikutan peranannya dalam membantu umat Islam menunaikan ibadah haji, sekali gus menjadikan soal kepercayaan terhadap institusi itu amat penting.

Dalam pada itu, Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong menegaskan keperluan untuk memastikan pengamal media memahami kandungan dan nuansa laporan RCI secara menyeluruh agar maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat.

Beliau berkata, kerjasama dengan IKIM dan pihak berkaitan dalam menganjurkan program seumpama itu wajar diperluaskan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai isu yang mempunyai kepentingan besar kepada negara.

“Saya fikir sekiranya kita pergi ke tempat-tempat lain dengan kerjasama IKIM dan pihak lain, ia merupakan langkah yang lebih baik supaya masyarakat dan komuniti dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai isu yang amat penting ini.

“Tabung Haji, begitu juga pelabur dan pendepositnya, sangat penting kepada negara,” katanya.

Sementara itu, perkembangan terbaharu berkaitan siasatan terhadap dapatan RCI menyaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 14 kertas siasatan dan melakukan penggeledahan di 28 premis, khususnya di sekitar Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman, sebelum ini memaklumkan, 115 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Menurut beliau, daripada enam isu teras yang dikenal pasti RCI, tiga telah selesai disiasat sepenuhnya.

Hasil siasatan terhadap isu berkenaan menyaksikan sebahagiannya membawa kepada syor untuk pertuduhan jenayah, manakala sebahagian yang lain diputuskan untuk tidak diambil tindakan lanjut.

Tiga lagi isu yang masih dalam siasatan pula kini berada di peringkat akhir dan dijangka diselesaikan dalam masa terdekat. - Getaran, 14 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved