
PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus memperkukuh tadbir urus dan pematuhan percukaian dalam kalangan Institusi, Organisasi dan Tabung (IOT) menerusi pelaksanaan Sesi Libat Urus Strategik Tahun 2026 secara berperingkat di enam zon seluruh negara.
Inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kefahaman IOT mengenai keperluan percukaian, pematuhan syarat kelulusan serta pendigitalan urusan percukaian di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
LHDM dalam kenyataan berkata, setakat ini, dua siri sesi libat urus telah berlangsung dengan sambutan menggalakkan.
“Siri pertama bagi Zon Tengah diadakan pada 31 Julai lalu di Menara LHDN, Cyberjaya dengan penyertaan seramai 277 peserta, manakala siri kedua bagi Zon Utara berlangsung di Menara LHDN Pulau Pinang pada 18 Ogos lalu dan disertai 125 peserta,” katanya.
Ketua Pegawai Dasar Percukaian LHDN, Rosnita Ahmad berkata, sesi libat urus itu penting sebagai platform untuk memperkukuh kerjasama strategik antara pihaknya dengan IOT.
Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan kefahaman berkaitan pengurusan percukaian di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Pada masa sama, Rosnita menyeru IOT agar terus memperkukuh aspek tadbir urus, integriti dan akauntabiliti selain memanfaatkan kemudahan digital yang disediakan oleh LHDN bagi memudahkan pengurusan dan pematuhan urusan percukaian.
Selain itu, LHDN menjelaskan peserta program turut diberi peluang berinteraksi secara langsung menerusi sesi soal jawab serta mengemukakan pertanyaan dan pandangan berkaitan isu percukaian yang dihadapi.
Katanya, program berkenaan akan diteruskan di Zon Pantai Timur hari ini di Pahang, diikuti Zon Selatan pada 27 Ogos di Johor.
Sesi seterusnya akan berlangsung di Zon Sabah pada 10 September, sebelum diteruskan ke Zon Sarawak pada 24 September di Akademi Percukaian Malaysia, Kuching.
IOT yang berminat menyertai sesi libat urus akan datang boleh membuat pendaftaran menerusi portal rasmi LHDN. – KOSMO! ONLINE
The post Enam zon jadi fokus libat urus LHDN bersama IOT appeared first on Kosmo Digital.






