liza19/10/2026 - 14:24 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt – Khee San Berhad menerajui usaha pendigitalan kedai runcit tradisional di Malaysia menerusi pembangunan platform digital yang turut membolehkan peniaga menggabungkan tempahan pembelian bagi mendapatkan barangan secara pukal pada kos lebih rendah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Khee San berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Khee San bersama Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia (FSGMAM) dan Dr Paul Lim Pang Kiam.
“Program berkenaan bertujuan memperluas akses kepada peralatan digital yang praktikal dan mampu milik, khususnya bagi membantu peniaga runcit bebas membuat persediaan menghadapi keperluan e-Invois serta meningkatkan kecekapan operasi harian,” katanya.
Ketika ini, ramai ahli FSGMAM terdiri daripada pengusaha kedai runcit bebas yang masih bergantung pada kaedah pengurusan manual dan sistem operasi yang tidak bersepadu.
Gabungkan sistem jualan dan pengurusan kedai
Platform yang dicadangkan itu akan menggabungkan sistem pengurusan peruncitan (RMS), sistem jualan di kaunter (POS), portal e-Invois dan e-Vendor serta pusat perdagangan pembelian berkumpulan yang dikenali sebagai Trading Hub.
Melalui Trading Hub, tempahan daripada peniaga yang mengambil bahagian akan dikumpulkan bagi membolehkan pembelian barangan secara pukal yang membantu mengurangkan kos perolehan.
Bagaimanapun, ciri terperinci platform dan aturan komersialnya masih dalam peringkat pembangunan serta tertakluk kepada perjanjian muktamad antara pihak terlibat.
Pengarah Urusan Khee San, Desmond Yong Loong Chen berkata pemeteraian MoU itu merupakan langkah penting ke arah menyediakan penyelesaian digital praktikal kepada pengusaha kedai runcit bebas di seluruh Malaysia.
Beliau berkata, gabungan komitmen Khee San untuk menerajui program, hubungan rapat FSGMAM dengan ahlinya serta konsep yang diperkenalkan Dr Lim membolehkan pihak terlibat meneroka pembangunan platform bagi meningkatkan kecekapan operasi, akses kepada peralatan e-Invois dan keupayaan pembelian secara kolektif.
Pelaksanaan secara berperingkat
Di bawah MoU itu, Khee San akan menaja dan menerajui program berkenaan, manakala pihak terlibat merancang menubuhkan sebuah syarikat sendirian berhad di Malaysia untuk memiliki dan mengendalikan platform tersebut.
Khee San dicadangkan menjadi pemegang saham majoriti serta bertanggungjawab terhadap pengurusan harian syarikat berkenaan.
FSGMAM pula akan mempromosikan program itu kepada ahlinya, menyelaraskan proses penyertaan serta pemilihan peniaga dan pembekal bagi projek perintis, selain mewakili kepentingan ahli dalam urusan tadbir urus.
Dr Lim yang mencetuskan konsep program itu akan turut terlibat menerusi jawatankuasa pemandu bersama yang dirancang, dengan keanggotaan merangkumi wakil ketiga-tiga pihak.
Dalam pada itu, Presiden Kebangsaan FSGMAM, Hong Chee Meng pula berkata keperluan peniaga runcit perlu terus menjadi keutamaan dalam pembangunan program itu, khususnya ketika pihak terlibat merancang pelaksanaan dan menentukan kumpulan peserta projek perintis.
Sementara itu, Dr Lim berkata, pendekatan secara berperingkat membolehkan pihak terlibat menguji model berkenaan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan peluasan pelaksanaan kepada kumpulan peniaga yang lebih besar.
Menurutnya, skop program pada masa hadapan serta terma komersial akan ditentukan menerusi proses perancangan dan perjanjian muktamad antara pihak terlibat.
Pihak berkenaan akan berusaha mengadakan bengkel penyelarasan bagi membincangkan peranan, pembiayaan dan tadbir urus, selain meneruskan usaha mendapatkan subsidi kerajaan serta menentukan kumpulan peserta projek perintis.
Pelan hala tuju indikatif program itu menyasarkan pelaksanaan projek perintis dalam tempoh enam bulan pertama, diikuti peluasan kepada ahli FSGMAM dalam bulan ketujuh hingga ke-12, sebelum program dikembangkan lagi mulai tahun kedua, tertakluk kepada perancangan dan persetujuan pihak terlibat.- DagangNews.com




