KUCHING - Polis sedang mengesan lapan individu bagi membantu siasatan kes khianat melibatkan kedai serbaneka di beberapa bahagian di negeri ini baru-baru ini.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak berkata, setakat ini, lima lelaki tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata individu yang dikesan ialah Kho Tze Yang, Tan Siong Seng, Tan Seng Ming, Alvin Chung Jia Hao, William Ong Wei Liang, Iwan atau dikenali sebagai Wan Indon, Chai Chuan Soon dan Kho Tze Hong.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Tan Chiang Fook, menerusi talian 018-2628805 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.
Pada 21 September lepas, Polis Sarawak memaklumkan sedang memburu suspek serangan ke atas kedai serbaneka di Kuching dan Sri Aman pada 20 Sept, dengan objek dipercayai mengandungi bahan letupan atau bahan mudah terbakar dibaling ke dalam premis itu.
Polis menerima dua laporan berhubung insiden berkenaan yang mempunyai modus operandi serupa. - Bernama






