Sindiket dadah ubah taktik guna jet persendirian

9 Oct 2026 • 12:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sindiket dadah ubah taktik guna jet persendirian
Hussein semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran dadah dipercayai mengubah taktik dengan menggunakan jet persendirian bagi menyeludup bahan terlarang selepas kawalan keselamatan diperketatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesan perubahan modus operandi itu apabila sindiket berkenaan dipercayai menggunakan laluan alternatif sebelum beralih kepada penerbangan persendirian.

Menurutnya, sebelum ini terdapat petunjuk sindiket menggunakan Lapangan Terbang Ipoh selepas kawalan diperketatkan di KLIA.

"Apabila kita memperketatkan kawalan di KLIA, mereka mula mengubah taktik.

"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, mereka menggunakan Lapangan Terbang Ipoh. Terbaharu, kita mendapati mereka menggunakan jet persendirian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pemilik syarikat penerbangan persendirian ditahan bagi membantu siasatan kes rampasan dadah berkenaan pada Rabu.

Lelaki tempatan berusia 49 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati perkhidmatan sebuah syarikat penerbangan persendirian yang beroperasi dari Lapangan Terbang Subang dipercayai digunakan bagi membawa dadah dari Laos ke Filipina.

Katanya, syarikat berkenaan mula beroperasi pada Julai 2026 dan menawarkan pelbagai perkhidmatan penerbangan, termasuk membawa penumpang berstatus kenamaan (VVIP), mengangkut barangan serta membawa pesakit untuk mendapatkan rawatan.

"Setakat ini, mereka telah menerima sembilan tempahan penerbangan dan kebanyakan perkhidmatan yang ditawarkan melibatkan penerbangan VVIP serta tujuan perubatan.

"Dalam kes ini, mereka pada awalnya dimaklumkan bahawa penerbangan itu adalah untuk membawa barangan dari Laos ke Filipina,” katanya.

Hussein berkata, polis masih menyiasat sama ada pemilik syarikat terbabit mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan atau perkhidmatan mereka disalahgunakan pihak lain.

Menurutnya, syarikat itu mempunyai dua buah jet yang ditempatkan di Lapangan Terbang Subang dan menawarkan perkhidmatan penerbangan ke beberapa destinasi, termasuk Singapura, Jakarta, Bangkok dan Taiwan.

Beliau berkata, penerbangan ke Laos yang dikaitkan dengan kes rampasan dadah itu merupakan tempahan kelapan syarikat berkenaan sejak mula beroperasi.

Pada 1 Oktober lalu, pihak berkuasa Laos merampas 521 kilogram (kg) dadah jenis kristal disyaki methamphetamine daripada sebuah jet persendirian yang tiba dari Subang di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos.

Siasatan mendapati pesawat itu berlepas dari Subang tanpa membawa muatan sebelum tiba di lapangan terbang berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi.

Kira-kira jam 1.30 petang, dua kenderaan tiba membawa 23 beg yang kemudiannya dipindahkan ke dalam pesawat terbabit.

Susulan kejadian itu, seramai 13 individu termasuk seorang rakyat Malaysia serta warga Singapura dan Filipina ditahan pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah rentas negara berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved