Khianat punca KLIA ‘bocor’

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Khianat punca KLIA ‘bocor’

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di­iktiraf dalam kelompok 10 la­­­pangan terbang terbaik dunia­ menerusi tinjauan Kualiti Per­khid­matan Lapangan Terbang (ASQ) oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) bagi lapangan terbang kategori melebih 40 juta penumpang setahun.

Sebagai pintu masuk utama negara, kerajaan berbelan­ja berbilion ringgit bagi me­lengkapkan­ KLIA dan pintu masuk lain dengan pelbagai ciri keselamatan untuk keselesaan penumpang.

Ia termasuk Mesin Pengimbas Bagasi Kecerdasan Buatan (AI) berharga RM1.018 juta se­unit; Sistem Digital Imigresen Bersepadu (MyNIISe) dengan kos keseluruhan kira-kira RM1 bilion dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) Keseluruhan de­ngan kos antara RM250 juta hingga RM300 juta.

Walau bagaimanapun, perbuatan khianat oleh ‘orang dalam’ menggagalkan fungsi sis­tem keselamatan canggih itu dalam menyekat penyeludupan barangan bahaya termasuk dadah.

‘Orang dalam’ juga menye­babkan individu tertentu terlepas daripada pemeriksaan ke­tat di KLIA.

Pakar kriminologi Pusat Penyelidikan Dasar (CPR) Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr. P. Sundramoorthy berkata, sistem keselamatan di lapa­ngan terbang yang disokong oleh teknologi canggih, prosedur yang ketat dan pelbagai lapisan pemeriksaan namun ‘bocor’ hanya dengan individu mempunyai akses sah dengan niat me­lakukan jenayah.

Katanya, sindiket jenayah terancang biasanya akan me­nyasarkan individu dalam sesebuah agensi keselamatan bagi ‘melindungi’ aktiviti kerana mampu menyediakan akses yang sukar diperoleh pihak luar.

“Berbeza dengan penjenayah luar yang perlu melepasi pelbagai halangan keselamatan, individu dalam organisasi sudah memiliki pengenalan diri, kuasa serta pengetahuan mengenai prosedur operasi. Justeru, ancaman ‘orang dalam’ amat mencabar kerana kelemahannya bukan sekadar terletak pada teknologi, malah turut melibatkan tingkah laku manusia.

“Lapangan terbang moden dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan canggih termasuk sistem biometrik, teknologi pemantauan, risikan serta prosedur pemeriksaan yang dipertingkatkan namun faktor manusia kekal sebagai elemen paling kompleks dalam mana-mana sistem keselamatan.

“Teknologi mampu me­ngenal pasti pelbagai risiko, namun ia tidak dapat menghalang sepenuhnya seseorang yang mempunyai akses sah daripada menyalahgunakan kepercayaan dan keistimewaan tersebut secara sengaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sundramoorthy berkata, Malaysia terus memperkukuh keselamatan penerbangan menerusi penambahbaikan prosedur pemeriksaan, keupayaan risikan, sistem pemantauan serta kerjasama antara agensi, termasuk peranan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Namun, katanya, insiden antarabangsa mutakhir ini membuktikan bahawa tiada sistem keselamatan yang boleh berasa selesa atau alpa.

“Keselamatan penerbangan mesti berasaskan prinsip bahawa tiada mana-mana individu harus diberikan layanan pemeriksaan yang lebih longgar hanya kerana pekerjaan, pangkat atau kedudukan sosial mereka.

“Penumpang, juruterbang, kru kabin, pihak pengurusan dan kakitangan lapangan terbang hendaklah dinilai secara objektif berdasarkan prosedur keselamatan, petunjuk risikan dan penilaian risiko.

“Rangkaian jenayah memahami bahawa individu yang kelihatan dihormati atau memegang jawatan berprestij lazimnya kurang menimbulkan syak wasangka, sekali gus menjadikan ancaman orang dalam lebih sukar dikesan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, industri penerbangan juga perlu beralih daripada mo­del keselamatan tradisional yang hanya menumpukan kepada ancaman luar kepada ancaman ‘orang dalam’ kerana penyelidikan kriminologi menunjukkan individu dipercayai boleh menjadi ancaman yang signifikan.

Katanya, hal ini disebabkan golongan itu memiliki akses yang sah dan kurang menimbulkan syak wasangka, justeru strategi pengurusan ancaman ‘orang dalam’ secara proaktif amat diperlukan.

Pada masa sama, Sundramoorthy berkata, sektor pe­nerbangan perlu terus memperkukuh pelaksanaan ujian alkohol dan dadah secara ra­wak terhadap kru penerbangan serta kakitangan lain yang memegang jawatan kritikal dalam aspek keselamatan.

Katanya, ujian itu perlu menjadi sebahagian daripada kerangka integriti penerbangan yang lebih menyeluruh, meliputi proses tapisan keselamatan secara berterusan, semakan latar belakang, latihan etika, mekanisme pelaporan sulit, perlindungan pemberi maklumat serta pengurusan risiko ber­asaskan risikan.

“Juruterbang komersial memegang antara peranan paling kritikal dari sudut keselamatan awam. Ribuan penumpang bergantung kepada pertimbangan, kecekapan dan tahap kecergasan mereka dalam melaksa­nakan tugas,” katanya. – UTUSAN

 

The post Khianat punca KLIA ‘bocor’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved