KHSB terus sokong para catur, hargai kejayaan kontinjen Selangor

30 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KHSB terus sokong para catur, hargai kejayaan kontinjen Selangor

SHAH ALAM, 30 SEPT: Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) terus menyokong perkembangan sukan para catur negeri menerusi penghargaan kepada kontinjen Selangor yang meraih 11 pingat emas pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Ketua Pegawai Operasinya, Edi Zuhri Abd Rahim berkata pencapaian itu membuktikan potensi besar sukan para catur selain kesungguhan atlet orang kurang upaya (OKU) yang memberikan komitmen tinggi sepanjang temasya.

Beliau berkata KHSB yang bertindak sebagai bapa angkat kepada kontinjen para catur Selangor akan terus menyediakan sokongan bagi membantu perkembangan sukan berkenaan pada masa depan.

Image from: KHSB terus sokong para catur, hargai kejayaan kontinjen Selangor
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) Edi Zuhri Abd Rahim menyampaikan insentif kemenangan kepada penerima ketika majlis Makan Malam Apresiasi dan Penghargaan Kontijen Para Catur Selangor di Restoran Samat Thai, Shah Alam pada 29 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Kita meraikan atlet para catur Selangor yang telah mencatatkan rekod cemerlang dengan memenangi 11 pingat emas. Pencapaian ini wajar diberi penghargaan kerana mereka telah menunjukkan komitmen dan semangat juang yang tinggi sepanjang pertandingan.

“Sebagai bapa angkat kepada kontinjen ini, kita mahu penghargaan seperti ini menjadi satu platform untuk meningkatkan semangat dan motivasi mereka supaya terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Apresiasi dan Penghargaan Kontinjen Para Catur Selangor di Restoran Samat Thai, di sini, semalam.

Pada majlis sama, Edi Zuhri menyampaikan ganjaran RM2,000 bagi setiap pingat emas yang dimenangi atlet manakala Persatuan Para Catur Selangor menerima insentif RM5,000 sebagai penghargaan terhadap peranan dalam membimbing serta menyokong perjalanan kontinjen.

Lebih membanggakan, pencapaian kontinjen itu turut membuka peluang kepada enam atlet para catur Selangor untuk mewakili negeri dalam Kejohanan GP Circuit yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

Image from: KHSB terus sokong para catur, hargai kejayaan kontinjen Selangor
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) Edi Zuhri Abd Rahim beramah mesra bersama atlet para ketika majlis Makan Malam Apresiasi dan Penghargaan Kontijen Para Catur Selangor di Restoran Samat Thai, Shah Alam pada 29 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut Edi Zuhri, pemilihan berkenaan menunjukkan prestasi atlet bukan sahaja menyerlah di peringkat SUKMA malah berpotensi untuk terus berkembang menerusi kejohanan yang lebih kompetitif.

“Enam atlet kita akan mewakili Selangor dalam Kejohanan GP Circuit pada Oktober depan dan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerana prestasi mereka di Para SUKMA turut membuka peluang untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Kita melihat sukan para catur mempunyai potensi dan KHSB akan terus membantu serta memberi sokongan pada masa akan datang bagi memastikan perkembangan sukan ini dapat diteruskan,” tambahnya.

Beliau berkata penghargaan kepada atlet juga penting bagi memastikan usaha dan pengorbanan mereka mendapat perhatian, sekali gus meningkatkan keyakinan atlet OKU untuk terus aktif dalam bidang sukan.

Image from: KHSB terus sokong para catur, hargai kejayaan kontinjen Selangor
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) Edi Zuhri Abd Rahim berucap ketika majlis Makan Malam Apresiasi dan Penghargaan Kontijen Para Catur Selangor di Restoran Samat Thai, Shah Alam pada 29 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Edi Zuhri berkata sokongan berterusan daripada pelbagai pihak diperlukan bagi memastikan pencapaian yang diraih pada Para SUKMA Selangor dapat menjadi asas kepada kejayaan lebih besar pada masa akan datang.

Kontinjen Selangor mendominasi acara para catur pada Para SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 14 September lalu dengan merangkul 11 pingat emas daripada 24 acara yang dipertandingkan.

Pungutan emas itu disumbangkan menerusi beberapa kategori termasuk Standard Wanita P1, Standard Wanita P1 Berpasukan, Standard Lelaki B1, Standard Lelaki P1 Berpasukan dan B1 Berpasukan.

Secara keseluruhan, pencapaian berkenaan membantu Selangor mengesahkan kedudukan sebagai juara keseluruhan Para SUKMA 2026 dengan kutipan 93 pingat emas, 55 perak dan 52 gangsa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved