KHTP bukan keutamaan bangunkan pusat data - Sanusi

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 6:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KHTP bukan keutamaan bangunkan pusat data - Sanusi
Muhammad Sanusi (tengah).

ALOR SETAR - Kulim Hi-Tech Park (KHTP) tidak akan dijadikan lokasi bagi pembangunan pusat data kerana keutamaan akan diberikan kepada pelaburan industri yang mampu menawarkan sehingga 15,000 peluang pekerjaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, meskipun negeri ini terbuka menerima pelaburan pusat data, namun penggunaan tanah, bekalan air dan tenaga elektrik yang tinggi perlu diambil kira sebelum sesuatu projek diluluskan.

Menurutnya, sebuah pusat data lazimnya hanya menawarkan kira-kira 100 peluang pekerjaan sekali gus kurang memberi impak dari segi peluang pekerjaan berbanding pelaburan kilang dan industri pembuatan.

“Kalau seluas kawasan Fasa Lima KHTP itu ditawarkan kepada syarikat lain, ia boleh menyediakan sehingga 15,000 peluang pekerjaan.

“Jadi, kita kata itu bukan keutamaan. Keutamaan kita ialah pelaburan yang menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini pada Rabu.

Menurutnya, terdapat dua permohonan daripada syarikat untuk membangunkan pusat data di KHTP, namun Kerajaan Negeri mohon Kulim Technology Park Corporation (KTPC) yang menguruskan taman teknologi itu untuk mencari lokasi alternatif.

Katanya, antara kawasan yang boleh dipertimbangkan ialah Bakar Arang, Gurun, Bukit Kayu Hitam, Padang Terap, Padang Meha dan Kulim Industrial Corridor.

“Pemilihan lokasi perlu mengambil kira kemampuan serta ketersediaan utiliti, bekalan tenaga, air dan tanah bagi memastikan pembangunan tidak menjejaskan keperluan sektor lain.

“Kita bukan tidak mahu pelaburan pusat data, kita mahu. Tetapi tidaklah sampai berpuluh-puluh pusat data dibangunkan sehingga akhirnya mencetuskan isu bekalan air. Kalau sampai begitu, saya tidak mahu,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved