HOO Pang Ron-Lai Pei Jing mula mengintai peluang memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 selepas membuktikan kemampuan bersaing di pentas lebih tinggi sejak digandingkan Mei lalu.
Pang Ron berkata, Olimpik menjadi sasaran utama mereka, namun pasangan beregu campuran profesional itu memilih pendekatan selangkah demi selangkah bagi memastikan perkembangan gandingan tidak terbeban dengan tekanan.
“Sudah tentu kami mahu berjuang untuk Olimpik. Itu matlamat utama kami.
“Kami akan bergerak selangkah demi selangkah dan tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Apa yang penting, kami mahu menikmati permainan,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Keyakinan itu hadir selepas Pang Ron-Pei Jing menghasilkan keputusan terbaik sejak bergandingan apabila muncul naib juara Masters China di Shenzhen, sekali gus menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam tempoh singkat.
Biarpun tewas kepada gandingan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, 19-21, 16-21 dalam tempoh 50 minit pada aksi final, pasangan ranking ke-85 dunia itu tetap mencuri perhatian menerusi aksi kompetitif menentang lawan yang pertama kali mereka temui.
Bagi Pei Jing, enam kejohanan yang dilalui bersama Pang Ron memberi ruang untuk mereka memahami corak permainan masing-masing dan membentuk kombinasi yang semakin kukuh.
“Setiap pasangan mempunyai kekuatan yang berbeza. Jadi sekarang saya cuba fokus kepada diri sendiri dan Pang Ron. Saya rasa ia benar-benar menjadi,” katanya.
Pencapaian di Shenzhen itu hadir selepas mereka turut melangkah ke separuh akhir Terbuka Macau pada Jun, perkembangan yang memberi petunjuk positif terhadap potensi gandingan berkenaan untuk mencabar pasangan terbaik dunia.
Lebih menarik, kejayaan kali ini turut mengulangi pencapaian Pang Ron di Masters China 2024 apabila dia muncul naib juara bersama Cheng Su Yin, yang ketika itu turut tewas kepada Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Kejayaan mara ke final Super 750 itu juga membawa pulangan AS$70,000 (RM283,114) selain 9,300 mata ranking, yang dijangka melonjakkan kedudukan Pang Ron-Pei Jing daripada tangga ke-85 ke kelompok 50 terbaik dunia.
Namun, Pei Jing tidak menganggap pencapaian tersebut sebagai petanda mereka sudah mencapai tahap terbaik, sebaliknya masih melihat ruang besar untuk diperbaiki, terutama dari aspek konsistensi dan strategi permainan.
“Masih banyak perkara yang perlu kami perbaiki. Kami perlu lebih konsisten dan bijak dalam mengatur strategi ketika berdepan pasangan yang berbeza,” katanya.
Dengan sasaran Los Angeles 2028 sudah diletakkan, Pang Ron-Pei Jing kini berdepan tugas lebih besar untuk mengekalkan momentum dan menjadikan pencapaian di Shenzhen sebagai batu loncatan kepada pembentukan gandingan yang mampu bertahan dalam kelompok elit dunia.





