Kilang baharu Guocera pacu pengembangan margin Hong Leong Industries, menurut CGSI

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 10:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kilang baharu Guocera pacu pengembangan margin Hong Leong Industries, menurut CGSI Image from: Kilang baharu Guocera pacu pengembangan margin Hong Leong Industries, menurut CGSI hamden31/07/2026 - 10:49 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Julai - Pelaburan sekitar RM420 juta oleh Hong Leong Industries Bhd (HLI) untuk membangunkan kilang jubin automatik baharu di Kluang, Johor dijangka menjadi pemangkin utama kepada pengembangan margin keuntungan kumpulan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

CGS International berkata, kemudahan baharu yang dikendalikan oleh anak syarikatnya, Guocera, bukan sahaja menggandakan kapasiti pengeluaran jubin syarikat, malah meningkatkan kecekapan operasi menerusi penggunaan teknologi automasi terkini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kilang berkenaan menambah kapasiti pengeluaran sebanyak 6 hingga 7 juta meter persegi setahun, sekali gus meningkatkan kapasiti keseluruhan Guocera kepada kira-kira 13.5 juta meter persegi setahun.

 

"Kami percaya kilang jubin berformat besar ini akan menyokong pengembangan margin dalam tempoh sederhana melalui ekonomi skala dan peningkatan kecekapan operasi apabila kadar penggunaan kapasiti terus meningkat," katanya dalam nota penyelidikan selepas melawat kilang tersebut pada 28 Julai lalu.

 

Kilang automatik itu dilengkapi sistem pengendalian bahan secara automatik, teknologi percetakan digital serta sistem pemeriksaan kualiti yang canggih, yang dijangka meningkatkan produktiviti, memastikan konsistensi produk dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

 

Walaupun pelaburan baharu itu akan menyebabkan peningkatan kos susut nilai, CGSI yakin impaknya masih berada pada tahap yang boleh diuruskan, dengan pihak pengurusan menyasarkan tempoh pulang modal antara lima hingga enam tahun.

 

Jubin Premium Berformat Besar

Selain meningkatkan kecekapan operasi, kilang baharu itu turut membolehkan Guocera mengeluarkan jubin berformat besar sehingga 120 x 240 sentimeter, berbanding saiz maksimum 60 x 60 sentimeter sebelum ini.

 

Produk baharu tersebut menyasarkan segmen premium termasuk projek kediaman mewah, hotel dan kemudahan penjagaan kesihatan di pasaran tempatan serta luar negara seperti Thailand, Vietnam, Singapura, Indonesia dan Amerika Syarikat.

 

Menurut CGSI, penggunaan teknologi pembuatan terkini dari Itali akan meningkatkan keupayaan Guocera menghasilkan reka bentuk premium, sekali gus menyokong campuran produk bernilai tinggi dan purata harga jualan (ASP) yang lebih baik.

 

Walaupun segmen jubin hanya menyumbang kira-kira 8% daripada hasil kumpulan FY25, berbanding perniagaan motosikal Yamaha yang menyumbang sekitar 90%, firma penyelidikan itu melihat pelaburan tersebut sebagai pemacu pertumbuhan baharu kepada HLI.

 

Dalam tempoh jangka panjang, peningkatan kapasiti serta penawaran produk premium dijangka mengukuhkan kedudukan Guocera dalam pasaran domestik dan eksport, selain membantu meningkatkan sumbangan segmen jubin kepada prestasi keseluruhan kumpulan.

 

Sehubungan itu, CGSI mengekalkan saranan "Tambah" terhadap saham HLI dengan harga sasaran RM26.30 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu berkata, HLI kekal menarik disokong pulangan atas ekuiti (ROE) sekitar 23% bagi FY2026 hingga FY2028, hasil dividen 6% hingga 7%, kedudukan tunai bersih yang kukuh serta prospek peningkatan campuran jualan motosikal premium Yamaha. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved