
KUALA SELANGOR – Operasi sebuah kilang kitar semula haram yang ‘dihidupkan’ semula selepas diserbu pihak berkuasa tahun lalu terbongkar apabila premis berkenaan digempur dalam kejadian di Jalan Sungai Sembilang Batu 15, Jeram, di sini, semalam.
Dalam operasi bersepadu diketuai Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bermula pukul 10.30 pagi turut membongkar aktiviti mencemarkan anak sungai.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, operasi dilaksanakan hasil daripada aduan awam serta pemantauan pihaknya terhadap premis itu.
Menurutnya, siasatan mendapati premis itu pernah diserbu pada Julai tahun lalu sebelum kembali aktif sejak tiga bulan lalu.
“Antara tindakan diambil ialah mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen serta satu notis arahan supaya aktiviti perniagaan dihentikan dan premis ditutup.
“MPKS turut menyita inventori membabitkan perkakas dan 13 kipas termasuk jenis duduk,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, pihaknya turut mengeluarkan satu notis dan tawaran kompaun atas kesalahan membina bangunan tanpa kelulusan bertulis daripada pihak majlis.
“Selain itu, satu kompaun turut dikeluarkan berkaitan kesalahan menjatuhkan cecair ke dalam anak sungai, manakala satu notis menghendaki kacauganggu dihapuskan turut dikeluarkan.
“Semakan serta tindakan pemotongan dan rampasan meter bekalan air dan elektrik turut dilaksanakan,” katanya.
Jelasnya, MPKS akan terus mempergiatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran. – KOSMO! ONLINE
The post Kilang haram ‘hidup’ semula, kena serbu lagi appeared first on Kosmo Digital.






