Kilang kayu proses hasil hutan tidak bercukai diserbu

20 Sep 2026 • 12:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kilang kayu proses hasil hutan tidak bercukai diserbu
Antara mesin dan kayu yang dirampas dalam serbuan. - FOTO: PGA
Image from: Kilang kayu proses hasil hutan tidak bercukai diserbu
Hasil hutan tidak bercukai yang diproses di kilang diserbu.

TANAH MERAH - Pasukan Gerakan Am (PGA) membongkar kegiatan sebuah kilang kayu di Kampung Bukit Kecil di sini yang dipercayai memproses hasil hutan tidak bercukai, dengan keseluruhan rampasan bernilai RM1.4 juta dalam serbuan pada Sabtu.

Operasi pada jam 2 petang itu turut membawa kepada penahanan empat lelaki berusia antara 26 hingga 45 tahun, termasuk seorang kerani kilang.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi bersepadu menerusi Op Taring Wawasan itu dijalankan sepasukan anggota Risik Batalion 8 PGA dengan bantuan Jabatan Perhutanan Jajahan Tanah Merah.

Menurut beliau, pemeriksaan di premis berkenaan mendapati seorang lelaki sedang mengendalikan jentera berat membawa muatan kayu ke kawasan mesin bandsaw, manakala tiga lagi lelaki sedang memotong kayu menggunakan mesin berkenaan.

**media[3652842]**

"Pemeriksaan lanjut mendapati kerani kilang berusia 27 tahun gagal mengemukakan permit pemindahan kayu daripada Jabatan Perhutanan.

"Pihak Jabatan Perhutanan Tanah Merah yang hadir ke lokasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan kayu-kayu yang terdapat di kawasan kilang dipercayai tidak bercukai," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati mesin dan jentera di premis berkenaan disyaki digunakan untuk memproses kayu yang tidak bercukai.

Serbuan itu membawa kepada rampasan sebuah jentera berat jenis Caterpillar berwarna kuning tanpa nombor pendaftaran yang dianggarkan bernilai RM800,000.

Turut dirampas dua unit mesin Cross Cut bernilai RM70,000, dua unit Band Saw bernilai RM500,000, 13 mata gergaji bernilai RM26,000 serta 290 batang kayu hutan pelbagai saiz dan spesies dianggarkan bernilai RM29,000.

"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1.4 juta," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved