liza05/11/2026 - 16:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov – Ferrotec Group memperkukuh operasi pembuatan komponen semikonduktor di Malaysia menerusi pembukaan kilang kedua di Padang Meha dekat Kulim, Kedah yang melibatkan pelaburan tambahan RM1 bilion.
Kilang yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 28 Oktober 2026 itu menjadikan jumlah pelaburan kumulatif kumpulan berkenaan di Kulim mencecah kira-kira RM1.9 bilion, termasuk kilang pertama yang mula beroperasi pada Januari 2024.
Pembukaan fasiliti baharu itu dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia, khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknikal dan kepakaran pengeluaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata keputusan Ferrotec membuka kilang kedua dalam tempoh kurang tiga tahun selepas kilang pertama memulakan operasi mencerminkan keyakinan kumpulan itu terhadap Malaysia sebagai pangkalan pembuatan peralatan semikonduktor.
Menurutnya, pelaburan itu membawa keupayaan pembuatan komponen kuartza, seramik dan logam berketepatan tinggi ke Malaysia, selain membuka peluang kepada jurutera, juruteknik serta pembekal tempatan untuk terlibat dalam rantaian bekalan industri berkenaan.
Beliau berkata, pengembangan operasi Ferrotec itu selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang bertujuan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai industri semikonduktor.
Kilang baharu tambah hampir satu juta kaki persegi ruang pembuatan
Kilang kedua itu menambah hampir satu juta kaki persegi ruang pembuatan berautomasi tinggi yang dilengkapi kapasiti untuk menempatkan lebih 700 mesin kawalan berangka berkomputer (CNC) berketepatan tinggi.
Kemudahan berkenaan turut dilengkapi sensor Internet Benda (IoT) dan kenderaan berpandu automatik (AGV) bagi menyokong operasi pembuatan.
Ia melengkapkan keupayaan kilang pertama Ferrotec di Kulim yang menghasilkan komponen kuartza, seramik termaju, fabrikasi logam berketepatan tinggi serta pemasangan elektromekanikal untuk industri semikonduktor.
Secara keseluruhan, operasi Ferrotec di Kulim kini mempunyai lebih 2,200 pekerja dengan pembukaan kilang kedua menyediakan ruang tambahan untuk pengembangan kapasiti pengeluaran kumpulan itu.
Pengeluaran penuh kilang kedua disasar suku kedua 2027
Ferrotec memulakan operasi kilang pertamanya di Kulim pada Januari 2024 menerusi pelaburan awal melebihi RM900 juta sebelum memperuntukkan tambahan RM1 bilion bagi pengembangan operasinya di negeri itu.
Kilang kedua yang telah dibuka secara rasmi itu menyasarkan peningkatan kapasiti pengeluaran secara berperingkat pada suku pertama 2027 sebelum mencapai tahap pengeluaran penuh pada suku kedua tahun sama.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ferrotec Corporation, He Xian Han berkata, Malaysia mempunyai ekosistem semikonduktor yang matang dan dinamik, disokong asas perindustrian yang kukuh, infrastruktur menyeluruh serta perkhidmatan kerajaan yang cekap.
Katanya, kelebihan berkenaan menyediakan persekitaran yang sesuai kepada pelabur asing untuk menubuhkan, mengendalikan dan mengembangkan operasi pembuatan di negara ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Ferrotec Manufacturing Malaysia, Anzhi He berkata, MIDA memberikan sokongan kepada kumpulan itu sejak peringkat awal penilaian pelaburan di Malaysia, termasuk menghubungkan syarikat dengan pihak berkepentingan berkaitan serta membantu menyelesaikan urusan pentadbiran ketika diperlukan.
Beliau berkata, sokongan berterusan itu membantu Ferrotec membuat keputusan untuk melabur di Malaysia dan mengembangkan operasinya di Kulim.- DagangNews.com






