liza05/11/2026 - 12:19 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov – Binastra Corporation Berhad mula memperluas penglibatannya dalam segmen pembinaan industri menerusi kerjasama baharu dengan PTT Synergy Group Berhad susulan kejayaan memperoleh kontrak bernilai RM303.8 juta bagi pembinaan gudang pintar di Bandar Bukit Raja, Klang.
TA Research berkata, kontrak itu adalah kerjasama pertama Binastra dengan PTT Synergy yang membuka ruang kepada kumpulan untuk mengembangkan asas pelanggannya di luar segmen tradisional pembinaan kediaman bertingkat tinggi.
Menurut firma penyelidikan itu, perkembangan berkenaan dilihat positif memandangkan PTT Synergy mempunyai saluran pembangunan gudang industri yang dianggarkan bernilai RM2 bilion hingga RM3 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.
Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuh Binastra, Binastra Builders Sdn Bhd daripada PTT Synexis Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh PTT Synergy Group Berhad.
Skop projek merangkumi pembinaan gudang menggunakan sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS), bangunan pejabat tiga tingkat, dua bangunan mekanikal dan elektrikal, tempat letak kereta lima tingkat, depoh kontena serta kemudahan sokongan lain.
TA Research berkata, walaupun margin keuntungan bersih projek itu dianggarkan sekitar 5% hingga 6%, lebih rendah berbanding margin biasa 8% hingga 9% bagi projek pembinaan bangunan tinggi Binastra, tempoh pelaksanaan yang singkat membolehkan hasil diiktiraf dengan lebih cepat.
Buku tempahan meningkat kepada RM6.2 bilion
Dengan kontrak terbaharu itu, Binastra merekodkan kemenangan kontrak keempat bagi tahun kewangan 2027 (FY2027), menjadikan jumlah keseluruhan kontrak baharu yang diperoleh setakat ini sebanyak RM1.6 bilion.
TA Research menganggarkan jumlah buku tempahan belum dilaksanakan kumpulan meningkat kepada kira-kira RM6.2 bilion, bersamaan 4.1 kali ganda hasil bagi tahun kewangan 2026 (FY2026).
ARTIKEL BERKAITAN: Binastra raih kontrak RM303.8 juta daripada PTT Synexis bangunkan gudang industri di Bukit Raja, Selangor
Firma itu berkata, kedudukan berkenaan memberikan keterlihatan pendapatan jangka pendek yang jelas kepada kumpulan, selain menyokong prospek pertumbuhan menerusi pelaksanaan projek sedia ada.
Binastra juga sudah mencapai kira-kira 64.6% daripada sasaran perolehan kontrak baharu FY2027 sebanyak RM2.5 bilion yang ditetapkan firma tersebut.
Saluran projek pusat data dan industri sokong prospek
Dari segi prospek kontrak baharu, TA Research menjangkakan momentum perolehan kontrak Binastra kekal baik, disokong saluran projek daripada pelanggan berulang seperti EXSIM dan MAXIM yang secara kolektif dianggarkan bernilai RM1 bilion hingga RM2 bilion.
Kumpulan turut mempunyai peluang daripada pelanggan baharu termasuk CPI Land dan HCK Capital, dengan saluran projek masing-masing secara kolektif dianggarkan bernilai RM1 bilion hingga RM2 bilion.
Selain itu, firma penyelidikan berkenaan melihat peluang daripada projek bukan kediaman seperti pusat data, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) tenaga hijau serta pembangunan industri, yang secara kolektif mempunyai saluran projek bernilai RM1 bilion hingga RM2 bilion.
Dalam jangka pendek, Binastra dijangka berpeluang memperoleh satu hingga dua lagi projek pusat data daripada pelanggan sedia ada dan baharu, selain satu kontrak pembinaan industri.
Berdasarkan anggaran margin keuntungan bersih 5% hingga 6%, kontrak RM303.8 juta itu dijangka menyumbang keuntungan bersih antara RM15.2 juta hingga RM18.2 juta sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Susulan perkembangan itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Binastra dan menaikkan harga sasaran saham kepada RM3.20 daripada RM3.17 sebelum ini, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 16 kali bagi unjuran pendapatan sesaham tahun kalendar 2027. - DagangNews.com






