
BUTTERWORTH - Sebuah kilang memproses fabrik untuk sofa di Jalan Bagan Ajam di sini musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran petang semalam, manakala pemiliknya mengalami melecur tahap pertama ketika cuba memadamkan api.
Lelaki berusia 58 tahun itu mengalami kecederaan melecur pada tangan dan leher.
Beliau menerima rawatan awal daripada petugas Kementerian Kesihatan sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.09 petang.
Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah kilang separa kekal yang menjalankan operasi memproses fabrik untuk pembuatan sofa.
“Dalam kejadian itu, dua motosikal masing-masing mengalami kerosakan sebanyak 50 peratus, manakala sebuah lori empat tan dan sebuah forklift masing-masing rosak kira-kira 90 peratus.
“Api berjaya dikawal pada jam 6.28 petang dengan bantuan pasukan bomba sukarela (PBS) berhampiran serta sebuah jengkaut yang disediakan syarikat swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, operasi pemadaman mengambil masa hampir 10 jam sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
John berkata api disahkan padam sepenuhnya pada jam 4.35 pagi tadi, sebelum anggota bomba meneruskan kerja-kerja pemeriksaan dan pemulihan bagi memastikan tiada bahaya lain yang masih wujud.
Operasi ditamatkan pada jam 6.59 pagi dan kes kemudiannya diserahkan kepada pasukan siasatan kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.
Seramai 26 anggota, termasuk ketua-ketua balai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Penanti, Kepala Batas, Jalan Perak, Bandar Perda, Bertam dan Perai, terbabit dalam operasi berkenaan.
Dalam kejadian lain, dua premis termasuk sebuah gerai makanan mamak bertentangan Sekolah Kebangsaan Ampang di Ampang Jaya, Selangor, rosak dalam kebakaran awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.46 pagi dan anggota dari BBP Ampang tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Beliau berkata kebakaran membabitkan dua premis milik pemilik berbeza, iaitu sebuah gerai makanan mamak dan stor penyimpanan barangan am.
“Kedua-dua premis terbabit masing-masing terbakar kira-kira 80 peratus.
“Api berjaya dikawal pada jam 4.42 pagi dan dipadamkan sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.30 pagi,” katanya.
Dalam operasi itu, anggota bomba menggunakan enam aliran hos sepanjang 200 kaki dengan lima muncung, yang mendapat bekalan air daripada pili bomba dan tangki air bagi memadamkan kebakaran.
Operasi turut mendapat bantuan daripada BBP Pandan Indah, BBP Keramat, BBP Hang Tuah serta Jabatan Bomba Sukarela (PBS) Bandar Mahkota Cheras.
Seramai 18 anggota bersama beberapa jentera dikerahkan ke lokasi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan. - Getaran, 29 Ogos 2026






