
BUTTERWORTH : Seorang pemilik sebuah kilang fabrik melecur tahap satu pada bahagian leher dan tangan ketika cuba memadam kebakaran yang berlaku di premisnya di Jalan Bagan Ajam di sini, petang semalam.
Selain kilang, kebakaran itu turut memusnahkan dua buah motosikal, sebuah lori seberat tiga tan serta sebuah forklift yang kebetulan berada di kawasan kilang berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.09 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth untuk ke lokasi.
Katanya, kerja-kerja memadamkan api turut dibantu oleh beberapa BBP lain termasuk dari Penanti, Kepala Batas, Jalan Perak, Bandar Perda, Bertam dan Perai selain beberapa Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta satu unit jengkaut milik sebuah syarikat swasta.
“Kilang jenis separuh kekal (Kelas B) yang menjalankan operasi memproses kain fabrik bagi kegunaan sofa itu dianggarkan mengalami kemusnahan sebanyak 80 peratus manakala kenderaan-kenderaan yang terlibat termasuk sebuah forklift pula mengalami kemusnahan antara 50 hingga 90 peratus.
“Mangsa iaitu pemilik kilang terbabit yang berusia 58 tahun juga telah diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar pukul 4.35 pagi tadi sebelum operasi ditamatkan kira-kira dua jam kemudian. Kes seterusnya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.-UTUSAN
The post Pemilik kilang fabrik melecur ketika cuba padam kebakaran appeared first on Utusan Malaysia.



.jpg)


