
SEBERANG PERAI – Seorang pemilik kilang fabrik nekad memadamkan kebakaran yang berlaku di premis miliknya sebelum dia dikatakan mengalami kecederaan melecur dalam kejadian itu di Butterworth di sini, malam tadi.
Mangsa, H’ng Seng Peng, 58 dilaporkan melecur tahap satu pada bahagian leher dan tangan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.09 petang dan menggerakkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth.
Menurutnya, operasi memadamkan kebakaran turut melibatkan bantuan dari BBP Penanti, Kepala Batas, Jalan Perak, Bandar Perda, Bertam dan Perai.
“Kebakaran melibatkan sebuah kilang jenis separuh kekal (Kelas B) yang menjalankan operasi memproses fabrik bagi kegunaan sofa dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus.
“Kebakaran turut melibatkan dua unit motosikal (50 peratus), sebuah lori tiga tan (90 peratus) dan sebuah forklift (90 peratus). Kebakaran telah berjaya dikawal pada pukul 6.28 petang..
“Bagaimanapun, terdapat seorang mangsa iaitu pemilik kilang telah melecur tahap satu pada bahagian tangan serta leher dan telah diberikan rawatan awal sebelum bawa ke hospital berhampiran bagi menerima rawatan susulan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, kebakaran telah berjaya dipadamkan padam pukul 4.35 pagi tadi dan diteruskan dengan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.
Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.59 pagi dan kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE
The post Cuba padam api, pemilik kilang fabrik melecur appeared first on Kosmo Digital.






