Kilang pasang bendera terbalik di Iskandar Puteri tiada lesen perniagaan sah

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 10:14 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kilang pasang bendera terbalik di Iskandar Puteri tiada lesen perniagaan sah

ISKANDAR PUTERI: Premis kilang yang dipercayai mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya telah mengambil tindakan segera dan tegas susulan aduan diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

“Pemeriksaan dijalankan turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pemilik premis diberi amaran tegas dan arahan untuk menurunkan serta membetulkan kedudukan bendera dengan serta-merta.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen perniagaan MBIP yang sah. Sehubungan itu, satu Notis Henti Niaga dikeluarkan dan satu kompaun diberi kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen MBIP,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah MBIP, premis berkenaan telah diarah untuk tutup dan menghentikan operasi kerana kegagalan mematuhi keperluan pelesenan MBIP.

“Ketika pemeriksaan dibuat, terdapat seramai 14 pekerja berada di premis berkenaan yang terdiri daripada dua warga tempatan dan 12 warga asing. Semua warga asing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bagi tujuan siasatan lanjut berkaitan status permit pekerjaan mereka.

“MBIP tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah bidang kuasa kami. Pemantauan dan tindakan susulan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, Pandak mendedahkan premis berkenaan telah mengibarkan bendera Malaysia dan Johor dalam keadaan terbalik sekaligus menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak wajar berlaku khususnya ketika sambutan Bulan Kebangsaan.-UTUSAN

The post Kilang pasang bendera terbalik di Iskandar Puteri tiada lesen perniagaan sah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved