
ISKANDAR PUTERI – Sebuah premis perindustrian di Taman Perindustrian SILC di sini, yang mencetuskan kontroversi selepas memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik rupa-rupanya beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.
Tindakan terhadap premis terbabit diambil Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima aduan berhubung pemasangan kedua-dua bendera berkenaan.
Pemeriksaan ke premis itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis telah memasang Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor dalam kedudukan terbalik.
Pemilik premis kemudian diberikan amaran tegas serta diarahkan menurunkan dan membetulkan kedudukan kedua-dua bendera itu serta-merta.
MBIP dalam kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, termasuk tatacara pemasangan serta penghormatan terhadap bendera kebangsaan dan negeri.
“Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor merupakan lambang kedaulatan, identiti dan maruah yang wajib dihormati,”menurut kenyataan itu.
Namun, pemeriksaan lanjut mendapati premis terbabit turut tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah untuk beroperasi.
Susulan itu, MBIP mengeluarkan Notis Henti Niaga terhadap premis berkenaan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, selain mengenakan kompaun kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen MBIP.
Premis berkenaan kemudiannya diarahkan menghentikan operasi dan ditutup kerana gagal mematuhi keperluan pelesenan yang ditetapkan.
Dalam pemeriksaan sama, MBIP turut menemukan 14 pekerja di premis terbabit, membabitkan dua warga tempatan dan 12 warga asing.
Kesemua 12 warga asing itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bagi membantu siasatan lanjut berkaitan status permit pekerjaan mereka.-KOSMO! ONLINE
The post Kilang pasang bendera terbalik rupanya tiada lesen sah appeared first on Kosmo Digital.






