Kilang pasang Jalur Gemilang terbalik rupanya tiada lesen sah - MBIP

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 10:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kilang pasang Jalur Gemilang terbalik rupanya tiada lesen sah - MBIP
Bukan sahaja bendera dipasang terbalik, premis turut didapati beroperasi tanpa lesen MBIP. - Foto Facebook MBIP
Image from: Kilang pasang Jalur Gemilang terbalik rupanya tiada lesen sah - MBIP
Pemeriksaan dilakukan bersama anggota MBIP dan ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad. - Foto Facebook MBIP

ISKANDAR PUTERI – Sebuah premis perindustrian di Taman Perindustrian SILC, di sini, bukan sahaja dikesan memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik, malah didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

Perkara itu terbongkar selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengambil tindakan susulan aduan ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berhubung pemasangan kedua-dua bendera berkenaan di premis terbabit.

MBIP dalam kenyataannya berkata, hasil pemeriksaan yang turut disertai oleh ADUN Kota Iskandar dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemilik premis telah diberikan amaran tegas dan arahan untuk menurunkan serta membetulkan kedudukan bendera dengan serta-merta.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan MBIP yang sah.

"Susulan itu, MBIP mengeluarkan satu Notis Henti Niaga kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

"Satu kompaun turut dikeluarkan kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen MBIP," menurut kenyataan itu.

**media[3620407]**

Tambahnya, premis berkenaan kemudian diarahkan menghentikan operasi dan ditutup kerana gagal mematuhi keperluan pelesenan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Dalam pemeriksaan sama, seramai 14 pekerja berada di premis terbabit, terdiri daripada dua warga tempatan dan 12 warga asing.

Kesemua 12 warga asing itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bagi tujuan siasatan lanjut berhubung status permit pekerjaan mereka.

"MBIP memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, termasuk aspek pelesenan premis serta tatacara pemasangan dan penghormatan terhadap bendera kebangsaan dan negeri.

"Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor merupakan lambang kedaulatan, identiti dan maruah yang wajib dihormati.

"MBIP tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah bidang kuasa Majlis. Pemantauan dan tindakan susulan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa," katanya lagi.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved