amree26/11/2026 - 11:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov — Fasiliti pemasangan dan pengujian semikonduktor kedua Texas Instruments (TI) di Melaka mencatat pencapaian penting dengan berjaya memasang dan menguji sebanyak satu bilion cip analog serta pemprosesan terbenam hanya dalam tempoh setahun beroperasi.
Dikenali sebagai TIEM2, fasiliti itu yang dibuka secara rasmi pada November 2025, mempunyai ruang pembuatan seluas 83,613 meter persegi, dilengkapi dengan teknologi automasi kilang termaju bagi menyokong pengeluaran berbilion-bilion cip semikonduktor setiap tahun.
Kapasiti berkenaan juga adalah enam kali ganda lebih besar berbanding fasiliti pertama syarikat tersebut di Melaka iaitu TIEM1, khususnya dalam proses penukaran wafer semikonduktor yang sudah diproses kepada cip siap untuk kegunaan pelbagai industri komersial.
"Pada ketika ini, TIEM2 berjaya menghasilkan sejumlah puluhan juta cip setiap hari dan sedang berusaha gigih meningkatkan lagi operasinya secara berperingkat-peringkat ke arah mencapai kapasiti yang penuh," jelas Texas Instruments dalam kenyataan.
Pengembangan fasiliti itu dijangka turut menyediakan sehingga 500 peluang pekerjaan baharu kepada tenaga kerja tempatan terutama di negeri berkenaan, sekali gus menyumbang kepada langkah strategik pembangunan bakat dan kepakaran dalam industri semikonduktor negara.
Pengarah Urusan Texas Instruments Electronics Malaysia, Parthiben Kumaran berkata, tahun pertama operasi TIEM2 memberi tumpuan kepada peningkatan skala pengeluaran serta pengukuhan tahap keupayaan pembuatan menerusi kepakaran dan pekerja tempatan sendiri.

Menurut beliau, fasiliti di Melaka berkenaan akan memainkan peranan semakin penting dalam strategi pembuatan global TI, khususnya bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memperkukuh daya tahan rantaian bekalan syarikat tersebut.
"Pencapaian tersebut turut menyokong strategi Texas Instruments untuk mengendalikan sendiri 90% operasi pemasangan dan pengujiannya menjelang 2030, sekali gus meningkatkan kawalan syarikat terhadap proses pembuatan serta rantaian bekalan," katanya.
Kehadiran kumpulan berkenaan di Malaysia bermula lebih 50 tahun lalu menerusi pembukaan kilang pertamanya di Selangor pada 1972.
Selain Melaka, syarikat itu turut mengendalikan fasiliti pembuatan peringkat akhir (back-end manufacturing) di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada rangkaian operasinya di rantau ini.
Memasuki tahun kedua operasi, TIEM2 akan memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran bagi memenuhi permintaan global, selain memperluas keupayaan pembuatan syarikat di Malaysia. - DagangNews.com






