Kinergy dijangka muktamadkan PPA loji janakuasa Perlis 1.5GW pada suku pertama 2027 - RHB Research

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 10:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kinergy dijangka muktamadkan PPA loji janakuasa Perlis 1.5GW pada suku pertama 2027 - RHB Research Image from: Kinergy dijangka muktamadkan PPA loji janakuasa Perlis 1.5GW pada suku pertama 2027 - RHB Research hamden13/10/2026 - 10:02 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kinergy Advancement Bhd (KASB) dijangka memuktamadkan perjanjian pembelian tenaga (PPA) bagi loji janakuasa gas berkapasiti 1.5 gigawatt (GW) di Perlis pada suku pertama 2027, sekali gus menjadi pemangkin penting kepada prospek pendapatan kumpulan itu, menurut RHB Research.

 

Menurut firma penyelidikan berkenaan, KASB dijangka menerima surat pemberitahuan bagi projek berkenaan menjelang akhir 2026 sebelum memeterai PPA pada suku pertama tahun depan.

 

Kumpulan itu juga telah melantik kontraktor utama untuk memulakan kerja-kerja tanah di tapak projek, menjelang jangkaan penghantaran turbin pertama pada separuh pertama 2027.

 

Menurut RHB Research, fasa pertama loji janakuasa berkapasiti 750 megawatt (MW) disasarkan mula beroperasi menjelang Disember 2028.

 

"Kami menganggarkan loji berkenaan mampu menyumbang keuntungan sebanyak RM78 juta kepada KASB selepas beroperasi sepenuhnya, berdasarkan pegangan saham kumpulan sebanyak 20%.

 

"Selain itu, KASB dijangka mengiktiraf hasil pembinaan sebanyak RM400 juta daripada fasa pertama projek berkenaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Buku tempahan RM1.1 bilion mampu menyokong hasil kumpulan selama 2.5 tahun

Dalam perkembangan berasingan, KASB memperoleh subkontrak bernilai RM47.5 juta daripada Gamuda Bhd bagi melaksanakan kerja-kerja infrastruktur elektrik teras dan struktur asas untuk projek pusat data (DC) di Bandar Springhill, Port Dickson.

 

Kerja-kerja projek itu dijangka bermula menjelang akhir 2026 dan siap pada suku pertama 2028.

 

Dengan andaian margin keuntungan 3%, RHB Research menganggarkan kontrak itu menyumbang keuntungan bersih sebanyak RM1.4 juta kepada KASB sepanjang FY2026 hingga FY2028, dengan sebahagian besar sumbangan diiktiraf pada FY2027.

 

Sumbangan tersebut dianggarkan mewakili masing-masing 2% dan 1% daripada anggaran pendapatan kumpulan bagi FY2027 dan FY2028.

 

Susulan kontrak terbaharu itu, baki buku tempahan KASB dianggarkan berjumlah RM1.1 bilion, yang mampu menyokong hasil kumpulan selama kira-kira 2.5 tahun.

 

"Memandangkan nilai kontrak itu masih dalam lingkungan sasaran penambahan buku tempahan baharu sebanyak RM60 juta bagi bahagian kejuruteraan, kami mengekalkan anggaran pendapatannya tanpa perubahan," kata RHB Research.

 

Dari segi penilaian, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan BELI terhadap KASB dengan harga sasaran RM0.60 sesaham, yang membayangkan potensi kenaikan sebanyak 53%.

 

Harga sasaran itu mengambil kira diskaun alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 4%, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) sasaran 19 kali terhadap anggaran pendapatan berulang FY2027, selain nilai RM330 juta bagi loji janakuasa gas berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF).

 

Harga sasaran itu membayangkan gandaan P/E FY2027 sebanyak 24 kali, bersamaan paras purata P/E tambah satu sisihan piawai (+1SD).

 

Firma penyelidikan berkenaan menyifatkan penilaian itu wajar bagi mencerminkan pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan sebanyak 20% serta prospek loji janakuasa gas baharu kumpulan.

 

Bagaimanapun, risiko utama termasuk kelewatan pentauliahan loji janakuasa gas berkapasiti 1.5GW serta tekanan terhadap margin keuntungan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved