Kenaikan kos buruh susulan semakan gaji minimum dikhuatiri tekan sektor perladangan pada 2027 – RHB Research

LocalBusiness & Finance
8 Oct 2026 • 9:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenaikan kos buruh susulan semakan gaji minimum dikhuatiri tekan sektor perladangan pada 2027 – RHB Research Image from: Kenaikan kos buruh susulan semakan gaji minimum dikhuatiri tekan sektor perladangan pada 2027 – RHB Research amree08/10/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Okt — Sektor perladangan dijangka berdepan tekanan kos lebih tinggi pada 2027 susulan kemungkinan kenaikan gaji minimum di Malaysia, yang dikhuatiri menjejaskan keuntungan syarikat perladangan, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, setiap kenaikan 10% gaji minimum kepada RM1,870 sebulan berpotensi memberi kesan antara 3% hingga 6% setahun terhadap keuntungan syarikat perladangan di bawah liputannya.

 

Ujarnya, risiko peningkatan kos buruh itu hadir ketika syarikat perladangan turut berdepan kemungkinan kenaikan harga baja pada 2027, dengan harga baja berpotensi naik hingga 30% tahun ke tahun (YoY) susulan ketegangan geopolitik.

 

"Baja menyumbang kira-kira 15% hingga 25% daripada keseluruhan kos seunit syarikat perladangan, manakala kami mengambil kira kenaikan kos seunit sekitar 5% hingga 10% setahun dalam unjuran bagi saham di bawah liputan," kata RHB Research.

 

Bagaimanapun, ia mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan, disokong jangkaan harga minyak sawit mentah (MSM) kembali meningkat pada separuh pertama 2027 (1H27), selepas kekal dalam julat tertentu dalam tempoh terdekat.

 

Firma itu menjangkakan kesan El Nino yang sangat kuat dan dijangka berlarutan sehingga suku pertama 2027 (1Q27) mula memberi tekanan terhadap pengeluaran sawit, terutama apabila ia bertepatan dengan musim pengeluaran rendah.

 

sektor perladangan_DagangNews2026

 

Menurut RHB Research, pengeluaran yang lebih rendah akan menyebabkan paras stok MSM menyusut daripada paras tinggi pada ketika ini, sekali gus berpotensi memberikan dorongan baharu kepada harga MSM sepanjang tempoh 1H27.

 

"Pada masa sama, potensi Indonesia meningkatkan mandat biodiesel kepada B60 pada 2027 daripada B50 boleh mengeluarkan tambahan enam juta tan minyak sawit daripada pasaran global setiap tahun, sekali gus meningkatkan premium kekurangan bekalan," katanya.

 

Prospek permintaan turut berpotensi bertambah baik selepas India mengurangkan duti import CPO kepada 5% daripada 10%, manakala duti minyak sawit ditapis diturunkan kepada 27.5% daripada 32.5%.

 

RHB Research turut memberi perhatian kepada risiko kawal selia di Indonesia susulan cadangan undang-undang reformasi agraria baharu, yang berpotensi menjejaskan produktiviti sektor perladangan negara itu dan seterusnya mengetatkan bekalan minyak sawit global.

 

Dengan mengambil kira faktor berkenaan, firma penyelidikan tersebut terus mengekalkan unjuran harga MSM pada RM4,400 satu tan bagi 2026 dan RM4,500 satu tan bagi 2027.

 

"Kami juga mengekalkan pilihan utama sektor ini terdiri daripada Sarawak Oil Palms, SD Guthrie, IOI Corporation, Hap Seng Plantations, First Resources dan PP London Sumatra Indonesia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved