Kinergy rancang penempatan persendirian RM49.35 juta bagi biayai pegangan ekuiti loji janakuasa Perlis

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 9:51 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kinergy rancang penempatan persendirian RM49.35 juta bagi biayai pegangan ekuiti loji janakuasa Perlis Image from: Kinergy rancang penempatan persendirian RM49.35 juta bagi biayai pegangan ekuiti loji janakuasa Perlis hamden15/10/2026 - 09:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt – Kinergy Advancement Bhd (Kinergy) bercadang melaksanakan penempatan persendirian bagi mengumpul RM49.35 juta sebagai langkah awal untuk menyediakan pembiayaan bagi pegangan ekuitinya dalam projek pembangunan semula Loji Janakuasa Eentier Perlis bernilai RM4.7 bilion.

 

Langkah itu bertujuan memastikan anak syarikat kumpulan, KAB Energy Holdings Sdn Bhd (KABEH) mempunyai sumber pembiayaan yang mencukupi bagi memenuhi komitmen ekuiti sehingga RM479.40 juta dalam Eentier, sebelum Surat Niat (LoN) bagi projek berkenaan dijangka dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) pada suku keempat 2026 atau suku pertama 2027.

 

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia pada Rabu, Kinergy berkata cadangan penempatan persendirian itu akan membolehkan kumpulan menyediakan dana lebih awal, selain memberi tempoh yang mencukupi untuk mendapatkan kelulusan berkaitan dan mengenal pasti pelabur berpotensi bagi penempatan tersebut.

 

KABEH kini memegang 51% kepentingan ekuiti dalam Eentier, usaha sama yang terlibat dalam pembangunan loji janakuasa berkenaan.

 

Jumlah RM479.40 juta itu mewakili 51% daripada komponen pembiayaan ekuiti projek Fasa 1 yang dianggarkan berjumlah RM940 juta, manakala baki 80% daripada keseluruhan kos projek dijangka dibiayai melalui pembiayaan hutang luaran.

 

Kinergy menjelaskan bahawa pembiayaan ekuiti KABEH itu dirancang menggunakan gabungan hasil penempatan persendirian sebanyak RM49.35 juta, dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman bank.

 

Sehingga tarikh praktikal terakhir (LPD), kumpulan mempunyai baki tunai dan bank kira-kira RM155.8 juta.

 

Bagaimanapun, struktur ekuiti akhir Eentier masih tertakluk kepada perbincangan dengan ST. Sekiranya rakan kongsi baharu diterima sebagai pemegang saham, struktur pegangan saham dan sumbangan ekuiti setiap pemegang saham akan diselaraskan secara berkadar.

 

KABEH bagaimanapun berhasrat mengekalkan sekurang-kurangnya 20% kepentingan ekuiti dalam Eentier bagi memastikan pegangan yang bermakna dalam projek tersebut.

 

Loji janakuasa 750MW disasar beroperasi pada 2029

Projek Loji Janakuasa Eentier Perlis akan dibangunkan semula di tapak brownfield bekas loji janakuasa berkapasiti 650MW di Simpang Empat, Perlis, yang menghentikan operasi pada Mac 2024.

 

Infrastruktur sedia ada di tapak itu termasuk pencawang suis 132/275 kilovolt (kV), stesen pemeteran gas dan loji rawatan air berkapasiti 56 megaliter sehari, yang berpotensi dimanfaatkan bagi pembangunan loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT).

 

Bagi Fasa 1, loji janakuasa berkapasiti 750MW itu masih menunggu pengeluaran LoN dan pemuktamadan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA).

 

Kinergy berkata Eentier sedang mengadakan perbincangan dengan ST, termasuk pertukaran maklumat dan dokumen untuk semakan pihak berkuasa serta rundingan mengenai terma teknikal dan komersial.

 

Selepas LoN dan PPA dikeluarkan, Eentier dijangka mempunyai tempoh sehingga enam bulan untuk memastikan kesediaan kewangan bagi pembangunan projek.

 

Mengikut garis masa sementara, pembiayaan Fasa 1 disasarkan dimuktamadkan pada suku kedua 2027, diikuti permulaan kerja pembangunan pada suku ketiga 2027.

 

Pembinaan loji itu dijangka siap dan mula beroperasi pada suku keempat 2029, tertakluk kepada pengeluaran LoN dan tiada keadaan tidak dijangka.

 

Sementara itu, rakan kongsi konsortium, B.Grimm Power, telah mendapatkan turbin gas yang diperlukan bagi projek tersebut melalui perjanjian tempahan. Perjanjian itu akan dipindahkan kepada Eentier melalui proses novasi selepas LoN dikeluarkan.

 

Dana alternatif bagi projek tenaga boleh baharu

Kinergy turut menjelaskan sekiranya KABEH tidak lagi terlibat dalam projek Loji Janakuasa Eentier Perlis, perbelanjaan prapembangunan yang telah ditanggung berkaitan projek itu tidak akan dikembalikan.

 

Dalam keadaan sedemikian, kumpulan bercadang mengalihkan hasil yang diperuntukkan bagi projek tersebut kepada projek tenaga boleh baharu (RE) yang sedang berjalan dan/atau projek akan datang.

 

Antara projek yang dikenal pasti ialah pembangunan loji hidro mini di Gerik, Perak, dengan kapasiti terpasang diluluskan sebanyak 2.84MW dan nilai projek RM51.32 juta, serta projek loji hidro mini di Slim River, Perak, berkapasiti 5.20MW dengan nilai RM96.34 juta.

 

Kedua-dua projek itu mempunyai tempoh konsesi selama 21 tahun, bermula dari tarikh permulaan tarif galakan yang dijadualkan pada Julai 2030. Kedua-duanya masih berada pada peringkat awal pembangunan.

 

Secara keseluruhan, kumpulan mempunyai 24 projek dengan jumlah nilai kontrak dan/atau konsesi kira-kira RM1.35 bilion, yang menurut Kinergy sedang berjalan mengikut jadual tanpa kelewatan atau pengenaan ganti rugi kelewatan.

 

Bagi mana-mana hasil penempatan persendirian yang melebihi jumlah yang diperuntukkan untuk tujuan di atas, kumpulan merancang menggunakan 70% bagi pembayaran kepada pemiutang perdagangan dan 30% bagi perbelanjaan operasi serta pentadbiran lain.

 

Sehingga LPD, Kinergy mempunyai 224 pemiutang perdagangan dengan baki belum dibayar berjumlah RM31.3 juta. Semua baki tersebut masih dalam tempoh kredit masing-masing dan/atau menunggu pembayaran selepas akaun projek dimuktamadkan.

 

Cadangan penempatan persendirian itu melibatkan penerbitan sehingga 218.50 juta saham baharu, bersamaan 10% daripada jumlah saham terbitan Kinergy, tidak termasuk saham perbendaharaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved