hamden14/10/2026 - 17:25 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt - Hibiscus Petroleum Bhd memeterai kerjasama eksklusif dengan Seri Pajam Development Sdn Bhd (SPD) bagi menilai dan membangunkan projek loji janakuasa serta penyelesaian tenaga di Malaysia, termasuk untuk memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat daripada pusat data.
Hibiscus Petroleum dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Terma Perjanjian Awal (HoA) yang ditandatangani pada 30 September 2026 itu merangkumi pembangunan projek berasaskan turbin gas, enjin gas, tenaga solar dan sistem penangkapan karbon di atas tanah milik SPD serta syarikat sekutunya.
Kerjasama itu selaras dengan strategi Hibiscus 3.0 untuk mempelbagaikan perniagaan kepada sektor peralihan tenaga dan perniagaan tenaga berkaitan, sambil mengekalkan minyak dan gas sebagai perniagaan teras Kumpulan.
Menurut syarikat itu, kerjasama berkenaan merupakan langkah penting untuk membina keupayaan dalam penjanaan kuasa bagi memenuhi permintaan elektrik Malaysia yang berkembang pesat, khususnya daripada pusat data termasuk kemudahan yang menyokong beban kerja kecerdasan buatan (AI).
SPD Tech Valley di Senawang dikenal pasti sebagai taman perindustrian strategik yang menawarkan rangkaian perhubungan yang baik serta infrastruktur pintar dan mampan, sekali gus sesuai untuk pembangunan pusat data yang berpotensi disokong oleh loji janakuasa domestik.
Inisiatif itu turut memanfaatkan Surat Kerjasama yang ditandatangani pada 30 September 2025 antara Hibiscus Petroleum, Sime Darby Energy Solutions Sdn Bhd, Kawasaki Gas Turbine Asia Sdn Bhd dan Kawasaki Heavy Industries Ltd.
Gabungan kepakaran pelbagai teknologi
Kerjasama tersebut menggabungkan keupayaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) berskala utiliti dengan teknologi penjanaan kuasa menggunakan enjin gas serta turbin gas kitaran gabungan yang telah terbukti.
Gabungan kepakaran itu membolehkan Hibiscus Petroleum menawarkan ekosistem bersepadu merangkumi pembangunan projek hingga operasi jangka panjang, disokong piawaian kesihatan, keselamatan dan alam sekitar Kumpulan serta rekod prestasinya dalam mengendalikan aset minyak dan gas.
Naib Presiden Kanan, Inisiatif Strategik Hibiscus Petroleum, Chong Chee Seong berkata, dengan memperluas kepakaran kepada penjanaan kuasa teragih, syarikat berhasrat memenuhi permintaan tersebut sambil mewujudkan peluang untuk menjana aliran pendapatan tambahan yang lebih stabil kepada para pemegang saham. - DagangNews.com





