johardy23/09/2026 - 09:01 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept - Pengeluar minuman berkarbonat Arab Saudi, Kinza sedang meneroka peluang menghasilkan produknya di Malaysia menerusi pembuatan kontrak dan kerjasama industri tempatan sebagai sebahagian daripada rancangan mengembangkan kehadirannya di Asia Tenggara.
Langkah itu mencerminkan usaha Kinza untuk memperluaskan model perniagaannya daripada membawa masuk produk siap dari Arab Saudi kepada membangunkan hubungan tempatan dalam bidang pembuatan, pengedaran, peruncitan, perkhidmatan makanan dan e-dagang.
Ketua Pegawai Eksekutif Al Jameel International dan Kinza, Bandar Okrin berkata, strategi Kinza di Malaysia bukan sekadar mengeksport produk siap dari Arab Saudi, sebaliknya melihat bagaimana keupayaan pembuatan dan pengedaran tempatan boleh menyokong kehadiran jangka panjang syarikat di Malaysia serta berpotensi ke pasaran Asia Tenggara yang berdekatan.
“Kinza sedang giat meneroka peluang pembuatan tempatan di Malaysia, termasuk pembuatan kontrak serta kerjasama industri,” katanya dalam temu bual melalui e-mel dengan DagangNews.
Menurut beliau, struktur kerjasama pembuatan dan komitmen pelaburan setiap pihak sedang dinilai bagi menentukan model yang paling sesuai untuk pasaran Malaysia.
Penilaian itu akan menjadi asas kepada penentuan skala operasi dan pelaburan sekiranya rancangan pembuatan tempatan diteruskan.

Malaysia berpotensi sokong pasaran serantau
Okrin berkata, Malaysia menawarkan peluang bukan sahaja sebagai pasaran pengguna, malah berpotensi menyokong rangkaian pembuatan, pengedaran dan rantaian bekalan Kinza bagi pasaran negara jiran.
“Objektif kami adalah untuk membina hubungan perniagaan tempatan yang mampan di sekitar Kinza, dan bukannya beroperasi semata-mata melalui model eksport,” katanya.
Pembuatan tempatan, sekiranya dilaksanakan, berpotensi memendekkan tempoh bekalan dan mengurangkan kos logistik berbanding bergantung sepenuhnya kepada penghantaran produk dari Arab Saudi.
Ia juga boleh membolehkan syarikat bertindak lebih pantas terhadap permintaan pengguna serta menyesuaikan saiz pembungkusan, harga dan portfolio produk mengikut keperluan pasaran tempatan.
Kinza membawa pengalaman pembuatan dan pembangunan jenama dari Arab Saudi serta pasaran Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Levant, dengan produknya kini dipasarkan di 75 pasaran merentasi lima benua, menurut Okrin.
Skala kapasiti pengeluaran dan peluang pekerjaan di Malaysia akan dapat dinilai dengan lebih terperinci selepas model kerjasama pembuatan dan rakan kongsi tempatan ditentukan.
“Setelah kerjasama tersebut dan sebarang pengaturan pembuatan tempatan dimuktamadkan, kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menilai skala operasi serta impak ekonominya yang lebih luas,” katanya.

Perluas rangkaian jualan Malaysia
Kinza sudah mula membina kehadiran di Malaysia menerusi e-dagang dan beberapa saluran jualan terpilih, dengan rancangan untuk memperluaskan pengedaran kepada rangkaian peruncitan, kedai serbaneka dan perkhidmatan makanan.
Malaysia dan Indonesia turut dikenal pasti sebagai antara pasaran utama dalam strategi pengembangan syarikat di Asia Tenggara.
Portfolio Kinza merangkumi minuman berperisa cola, lemon, oren, sitrus, blackcurrant dan delima, selain produk tanpa gula, air soda dan minuman tenaga.
Menurut Okrin, strategi Kinza di rantau ini akan disesuaikan mengikut ciri setiap negara dan permintaan pengguna, bukannya menggunakan satu model perniagaan yang sama untuk seluruh Asia Tenggara.
“Kami mahu memahami setiap pasaran, bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan yang kukuh serta membangunkan perniagaan berdasarkan permintaan pengguna tempatan,” katanya.
Kinza menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 September dengan tumpuan mendapatkan rakan kongsi dalam pembuatan, pengedaran, peruncitan dan perkhidmatan makanan. - DagangNews.com





