Pengeluar minuman Arab Saudi, Kinza sasar Malaysia sebagai pasaran pertumbuhan di Asia Tenggara

LocalBusiness & Finance
14 Sep 2026 • 5:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengeluar minuman Arab Saudi, Kinza sasar Malaysia sebagai pasaran pertumbuhan di Asia Tenggara Image from: Pengeluar minuman Arab Saudi, Kinza sasar Malaysia sebagai pasaran pertumbuhan di Asia Tenggara amree14/09/2026 - 17:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 SeptKinza, antara jenama minuman berkarbonat Arab Saudi yang berkembang pesat di Timur Tengah, menyasarkan Malaysia dan Indonesia sebagai pasaran pengembangan perniagaan di ASEAN.

 

Jenama yang kini menembusi 75 negara di lima benua itu bakal menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 September ini bagi mencari rakan kongsi baharu.

 

Ia melihat peluang perkongsian merangkumi sektor pembuatan, pengedaran, peruncitan, perkhidmatan makanan dan e-dagang, manakala Indonesia berpotensi dengan fokus cita rasa, dan kemampuan harga.

 

Pengasas Kinza, Bandar Okrin berkata, Asia Tenggara merupakan fasa penting dalam pertumbuhan global syarikat itu, dengan Malaysia dan Indonesia masing-masing menawarkan peluang yang menarik.

 

"Kinza tidak sekadar mahu mengeksport produk, sebaliknya berhasrat membina perkongsian tempatan yang kukuh bagi mewujudkan perniagaan mampan seiring permintaan pengguna," katanya dalam kenyataan.

 

Produknya dikeluarkan di Jeddah, Arab Saudi, kini memiliki kapasiti pengeluaran besar bagi memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa, selain membangunkan projek di beberapa pasaran luar negara.

 

Kinza_DagangNews2026

 

Bagi Asia Tenggara, pengeluaran tempatan dilihat membantu Kinza memendekkan tempoh bekalan dan mengurangkan kos logistik, selain menyesuaikan saiz pembungkusan, harga serta portfolio produk.

 

Minuman berkarbonat Kinza meliputi perisa kola, lemon, oren, sitrus, beri hitam dan delima, selain pilihan bebas gula, air soda serta minuman tenaga yang bersesuaian dengan keperluan rantau ini.

 

"Kinza turut membawa pengalaman penajaan sukan, termasuk sebagai penaja strategik Piala Super Sepanyol dan Piala Super Perancis serta minuman rasmi West Asia Super League (WASL)," jelasnya.

 

Di Malaysia, jenama itu sudah mula membina kehadiran menerusi e-dagang dan saluran jualan terpilih, selain aktif mengenal pasti rakan kongsi pembuatan dan pengedaran yang ada keupayaan pemasaran.

 

Ujarnya, selain Malaysia dan Indonesia, Kinza merancang meneroka negara-negara Asia Tenggara lain serta peluang pertumbuhan di Asia Selatan dan Asia Tengah, dalam beberapa tahun yang akan datang.

 

Justeru, syarikat berkenaan menyasarkan untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai tunjang penting potensi perniagaan antarabangsa jenama tersebut khususnya menerusi MIHAS 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved