Kisah Tumpang Solat Di Dewan Cina Raih Perhatian, Netizen Kongsi Pengalaman Harmoni Antara Kaum

31 May 2026 • 7:52 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Kisah Tumpang Solat Di Dewan Cina Raih Perhatian, Netizen Kongsi Pengalaman Harmoni Antara Kaum

KUALA LUMPUR – Perkongsian seorang badut acara atau clown entertainer mengenai pengalaman menumpang solat di sebuah dewan milik masyarakat Cina mengundang perhatian ramai apabila mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen.

Menerusi satu perkongsian di Threads oleh pengguna dikenali sebagai @ijatbelon, beliau menceritakan bagaimana permintaannya untuk menunaikan solat Maghrib sebelum memulakan tugasan di sebuah majlis hari jadi disambut baik oleh beberapa warga emas Cina yang berada di lokasi berkenaan.

Menurutnya, majlis tersebut dijadualkan bermula pada pukul 7.30 malam dan beliau telah memaklumkan kepada pelanggan bahawa dirinya mungkin lewat beberapa minit bagi menunaikan solat terlebih dahulu.

Katanya, kawasan tersebut merupakan kawasan majoriti masyarakat Cina dan surau terdekat agak jauh untuk dikunjungi dalam tempoh yang singkat.

“Saya nampak ada dewan sebelah rumah. Saya masuk dan tegur beberapa uncle di situ. Saya minta izin untuk tumpang solat.

“Deme (mereka) terus kata boleh. Yang lagi kelakar, uncle itu cakap loghat Perak,” tulisnya.

Beliau berkata, walaupun pintu dewan berkunci kerana digunakan pihak lain, mereka tetap membenarkan beliau menggunakan ruang koridor yang bersih untuk menunaikan solat.

Banyak Pengalaman Positif Dengan Pelanggan Bukan Islam

Perkongsian tersebut turut disertakan dengan pengalaman lain sepanjang bekerja dalam industri hiburan acara, termasuk pelanggan bukan Islam yang memahami keperluan pekerja Muslim untuk menunaikan solat.

Menurutnya, ada pelanggan yang menyediakan ruang khas untuk beliau bersolat apabila acara berlangsung bertepatan dengan waktu solat.

“Ramai je faham pasal orang Islam kena solat. Minta izin lewat lima hingga 10 minit biasanya mereka okey saja.

“Kalau nak tumpang solat di mana-mana pun boleh, sama ada di gereja atau kuil, asalkan tempat itu bersih dan sah untuk solat,” katanya.

Perkongsian berkenaan menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang turut berkongsi pengalaman hidup harmoni bersama masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Seorang pengguna menceritakan bagaimana anak perempuannya pernah dijemput menghadiri majlis hari jadi rakan sekolah di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

Menurutnya, keluarga penganjur bukan sahaja menyediakan makanan segera yang halal khas untuk anaknya, malah turut memastikan anjing peliharaan mereka ditempatkan di dalam sangkar sepanjang majlis berlangsung bagi menghormati tetamu Muslim.

“Jadi kita rakyat hidup aman bahagia. Tiada politik,” tulisnya.

Menjawab komen itu, pemilik hantaran berkata beliau sendiri sering mengendalikan acara di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Katanya, pihak sekolah sering memaklumkan bahawa makanan yang disediakan diperoleh daripada katerer Melayu bagi memastikan tetamu Muslim dapat menikmati hidangan tanpa sebarang keraguan.

Sikap Saling Menghormati Jadi Kunci Keharmonian

Seorang lagi netizen berkongsi bahawa syarikat tempatnya bekerja sebelum ini menyediakan dua ketuhar gelombang mikro berasingan, masing-masing untuk kegunaan halal dan bukan halal.

Selain itu, terdapat juga individu yang menceritakan pengalaman menghadiri majlis perkahwinan serta sambutan hari jadi keluarga Cina yang mengambil berat tentang sensitiviti tetamu Muslim.

Menurutnya, penganjur menyediakan makanan halal, mengasingkan tempat makan daripada kawasan hidangan arak dan memastikan tiada anjing berada di kawasan majlis sepanjang acara berlangsung.

Membalas perkongsian tersebut, @ijatbelon berkata beliau turut pernah menerima layanan serupa daripada pelanggan bukan Islam.

“Lepas habis acara, dia tawarkan air minuman. Bila saya kata tak mengapa, dia tunjuk air yang masih baru dan beritahu ia tidak dicampur dengan tong bir.

“Masa nak balik, siap bagi tip lagi,” katanya.

Perkongsian tersebut turut mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen yang menyifatkan sikap saling menghormati antara masyarakat berbilang kaum dan agama sebagai antara faktor yang menyumbang kepada keharmonian hidup di Malaysia. – The Malaysian Update

The post Kisah Tumpang Solat Di Dewan Cina Raih Perhatian, Netizen Kongsi Pengalaman Harmoni Antara Kaum appeared first on The Malaysian Update.