Kit Storan SSD PCIe 3.0 Untuk Raspberry Pi 5 Diperkenalkan Dengan Pilihan 256GB Dan 512GB

TechnologyDigital
24 Oct 2024 • 7:54 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Jika anda seorang peminat tegar komputer kerdil Raspberry Pi, dan sudah memiliki sebuah komputer Raspberry Pi 5, atau bercadang untuk membelinya, mereka baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah kit storan PCIe 3.0 untuknya yang boleh dipasang untuk menambahkan jumlah storan pada komputer tersebut secara mendadak.

Raspberry Pi kini menjual kit storan M.2 HAT+ yang menambahkan sokongan untuk sambungan SSD M.2 2230 di atas komputer kerdil ini. Dari segi pilihan storan pula, mereka memperlihatkan penawaran storan bersaiz 256GB dan juga 512GB di gedung atas talian mereka.

image is not available

Raspberry Pi mengatakan bahawa dengan penawaran komputer kerdil terbaru mereka, yang kini menampilkan sokongan untuk palam PCI Express, banyak syarikat telah mengeluarkan pelbagai jenis aksesori baru untuk dipasang pada komputer mereka.

Dan untuk syarikat itu sendiri, mereka dapati bahawa penawaran aksesori sambungan storan pantas SSD merupakan sebuah produk yang sangat dimahukan oleh para pengguna komputer kerdil ini. Dan oleh kerana itu, SSD berjenama Raspberry Pi dan juga aksesori kad PCI Express untuk storan ini diperkenalkan.

image is not available

Aksesori ini juga nampaknya tidaklah begitu mahal. Storan SSD bersaiz 256GB dan 512GB ini ditawarkan pada harga $30 dan $40, manakala kit M.2 Hat+ bersama storan pula diperlihatkan pada harga $40 bersama storan 256GB dan $55 dengan storan 512GB.

Buat masa ini, pilihan storan 256GB sudahpun mula ditawarkan melalui laman rasmi Raspberry Pi, manakala pilihan storan 512GB dijangka akan tiba pada bulan November ini.