Pertemuan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dengan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden memberi isyarat bahawa usaha meneruskan agenda penyatuan ummah antara kedua-dua parti itu masih berjalan.
Menurut laporan Sinar Harian, kedua-dua pemimpin berkenaan berkongsi perkembangan pertemuan itu menerusi hantaran di media sosial pada Ahad, dengan masing-masing menyatakan komitmen untuk meneruskan agenda berkenaan.

Muhamad Akmal menyambut baik kunjungan Afnan Hamimi bersama barisan Pemuda PAS ke Melaka, selain menegaskan usaha penyatuan ummah yang dimulakan sebelum ini akan terus dipelihara.
“Kita yang memulakan, insya-ALLAH kita akan teruskan dan pelihara penyatuan ummah ini.
“Kita birukan Melaka dengan penyatuan ummah ini,” katanya.

Sementara itu, Afnan Hamimi turut membayangkan gerakan berkenaan akan diteruskan, malah menyifatkan Melaka sebagai lokasi gelombang biru seterusnya.
“Insya-ALLAH gelombang biru akan menerjah. Kat mana? Melaka lerrr,” ujarnya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu turut memuat naik beberapa gambar pertemuan berkenaan dengan mesej ringkas yang menekankan kesinambungan usaha penyatuan ummah.
“Malam tadi, biar gambar berbicara. Penyatuan ummah terus melangkah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian (Noor Ainon Mohamed)






