Kita kekal kawan cuma bukan di pentas pilihan raya’ Fadhli cadang PAS, Bersatu gerak berasingan

LocalPolitics
31 May 2026 • 1:55 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Kita kekal kawan cuma bukan di pentas pilihan raya’ Fadhli cadang PAS, Bersatu gerak berasingan

KUALA LUMPUR – Lebih baik PAS dan Bersatu bertanding secara berasingan pada pilihan raya akan datang susulan perbezaan yang semakin ketara antara kedua-dua parti, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

“Secara peribadi saya cadangkan jalan yang terbaik ialah bergerak secara berasingan. Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihan raya.

“Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Fadhli, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mengkritik mengenai jentera parti itu dan kegagalan untuk Bersatu mengakui kelemahan kekuatan sokongan akar umbi.

“Bukanlah satu kesalahan jika sesebuah parti itu tiada jentera tambahan pula jika ia parti baru, tetapi yang menjadi masalah ialah kegagalan untuk mengakui kelemahan dan kekerdilan itu.

“Apabila penafian terhadap hakikat itu berlaku, tindakan yang akan lahir nanti berasaskan keyakinan diri sentiasa kuat, walhal hakikat yang jelas terpampang ialah sebaliknya

“Juga tiada masalah jika kekurangan jentera diikuti dengan usaha pemantapan parti tetapi jika dalam tempoh bertahun-tahun selepas pilihan raya asyik berantakan, ia bukan memantapkan parti.

“Ia hanya proses mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon dan kemudiannya menunggang kekuatan parti kawan,’’ katanya.

Fadhli turut mendakwa Bersatu, yang merupakan rakan PAS dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), bertanding lebih banyak kerusi berbanding rakan-rakan dalam perikatan tersebut namun gagal menang lebih banyak kerusi.

“Tindakan demi tindakan Bersatu kebelakangan ini pun dalam isu Perlis dan Negeri Sembilan boleh melahirkan kebimbangan apakah selepas PRU16 nanti akan ada pertimbangan secara bersendirian di dalam membentuk kerajaan persekutuan,’’ soalnya.

Hubungan antara Bersatu dan PAS dilihat semakin tegang, dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini menyatakan sudah tiba masanya untuk menilai semula kerjasama PAS dengan Bersatu. - 31 Mei, 2026

The post Kita kekal kawan cuma bukan di pentas pilihan raya’ Fadhli cadang PAS, Bersatu gerak berasingan appeared first on Scoop.

View Original Article